LAPAN lagi kakitangan Hotel Mandarin Orchard diuji positif dalam ujian serologi, membayangkan mereka pernah dijangkiti Covid-19 sebelum ini, kata Kementerian Kesihatan (MOH) semalam.
Ini bermakna 11 kakitangan hotel di Orchard Road itu diuji positif setakat ini, termasuk tiga yang diumumkan MOH kelmarin.
Siasatan epidemiologi bagi semua 11 kes itu sedang berjalan, kata MOH. Ia antara lain bertujuan menentukan sumber dan sebab jangkitan.
Sementara itu, MOH sedang menjalankan ujian terhadap kontak terdekat mereka sebagai langkah pencegahan, dan akan juga menjalankan ujian serologi untuk menentukan apakah para kontak itu pernah dijangkiti mereka.
11 kes itu tidak dimasukkan dalam kiraan kes baru harian Covid-19 MOH kerana ujian reaksi rangkaian polimerase (PCR) yang dijalani mereka negatif, menunjukkan ia mungkin jangkitan lalu, dan bukan semasa.
"Singapura melaporkan kes Covid-19 dengan cara yang selaras dengan amalan antarabangsa. Setiap kes yang diuji positif melalui ujian PCR dan dinilai sebagai jangkitan akut dilaporkan dan dimasukkan dalam kiraan kes.
"Kami mematuhi kriteria yang ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), iaitu hanya ujian positif daripada ujian yang dapat memberi pengesahan rasmi (seperti ujian PCR) dimasukkan dalam kiraan kes.
"Ini supaya kes dilaporkan secara konsisten di semua negara," kata MOH.
MOH berkata demikian dalam satu kenyataannya untuk memberi kemas kini mengenai siasatannya terhadap 13 kes Covid-19 di hotel tersebut bulan lalu. Pesakit-pesakit itu mungkin dijangkiti Covid-19 setiba mereka di sini.
Sekitar 570 kakitangan hotel itu telah menjalani ujian PCR, yang digunakan untuk menentukan jangkitan, sejauh ini dan kesemuanya diuji negatif, kata MOH.
Ia sedang mengadakan ujian bagi individu yang belum menjalani ujian itu.
Operasi ujian khas untuk menguji semua individu dan kakitangan di hotel itu telah selesai, menurut MOH.
Sementara itu, MOH melaporkan 10 kes baru Covid-19 di sini hingga 12 tengah hari semalam. Ia menjadikan jangkitan itu berjumlah 58,432 di sini.
Ini termasuk satu kes dalam masyarakat - yang pertama sejak 5 Disember.
Baki sembilan jangkitan baru ialah kes import, dan kesemua pesakit telah dikenakan Notis Jangan Keluar Rumah (SHN) setiba mereka di Singapura.
Tiada kes dilaporkan di dormitori pekerja asing.
Kes dalam masyarakat terakhir pada 5 Disember melibatkan seorang anak kapal warga Filipina yang dikenal pasti sebagai kontak dekat seorang pesakit Covid-19 dan sedang menjalani kuarantin semasa diuji positif.
Sejumlah 29 pesakit telah meninggal dunia di Singapura akibat Covid-19, dengan lagi 15 pesakit yang diuji positif meninggal dunia akibat sebab-sebab lain.
Lebih 74.2 juta orang di serata dunia dijangkiti Covid-19 sejak penularan koronavirus itu bermula pada Disember tahun lalu di China.
Lebih 1.6 juta telah meninggal dunia akibatnya.
KES COVID-19 DI SG: 21 DIS
JUMLAH KES BARU: 10
DALAM MASYARAKAT: 1
IMPORT: 9
JUMLAH KEMATIAN: 29
JUMLAH KES KESELURUHAN: 58,432 (Hingga 12 tengah hari semalam)
Laporan terkini kes Covid-19 tempatan di www.BH.sg


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg