Topik diikuti
Pergi ke BHkuCovid-19: Lawatan ke wad hospital, rumah jagaan digantung 4 minggu susuli peningkatan kes Omicron
Covid-19: Lawatan ke wad hospital, rumah jagaan digantung 4 minggu susuli peningkatan kes Omicron
Covid-19: Lawatan ke wad hospital, rumah jagaan digantung 4 minggu susuli peningkatan kes Omicron
KUNJUNGAN ke wad hospital dan rumah jagaan berkediaman akan digantung selama empat minggu mendatang di tengah-tengah peningkatan kes Covid-19 varian Omicron sejak beberapa minggu ini.
Ini adalah bagi melindungi kapasiti jagaan kesihatan dan warga emas yang mudah terdedah pada penyakit, kata Kementerian Kesihatan (MOH) pada Jumaat (21 Januari).
Tempoh yang ditetapkan itu bermula dari Isnin ini (24 Januari) hingga 20 Februari.
Bercakap di sidang media pasukan bertindak berbilang kementerian tentang Covid-19 pada Jumaat (21 Februari), pengarah khidmat perubatan, Profesor Madya Kenneth Mak, berkata:
"Kami menyesali bahawa langkah ini akan menyusahkan keluarga yang datang untuk mengunjungi dan menyokong orang tersayang mereka di hospital dan rumah jagaan itu. Namun, ini adalah bagi melindungi kesihatan dan kebajikan mereka."
Beliau menambah pihak berkuasa akan menyemak keperluan bagi sekatan ini apabila keadaan masyarakat lebih baik kelak.
Singapura melaporkan 1,001 kes baru dengan varian Omicron pada Khamis. Dalam kalangan kes ini, 952 kes merupakan tempatan manakala 49 kes pula merupakan kes import.
Kadar pertumbuhan jangkitan Covid-19 juga meningkat kepada 2.17 pada Khamis, kali pertama sejak 19 September tahun lalu di mana kadar pertumbuhan jangkitan mingguan meningkat melepasi angka 2.
MOH berkata, hospital dan rumah jagaan diberi kebebasan untuk membenarkan pengunjung masuk bagi kes tertentu, misalnya, jika pesakit atau penghuni sakit tenat.
Bagi memastikan pesakit dan penghuni kekal berhubung dengan orang tersayang, hospital dan rumah jagaan akan membantu mengendalikan kaedah komunikasi gantian seperti menerusi telefon atau panggilan video.
Sesetengah kumpulan pesakit akan terus dibenarkan dikunjungi pelawat mengikut keperluan kes demi kes yang dinilai hospital. Mereka terdiri daripada pesakit tenat, pesakit kanak-kanak, ibu yang baru melahirkan atau sesudah melahirkan serta pesakit yang memerlukan sokongan jagaan daripada pengasuh.
Pesakit ini diizinkan menerima satu pengunjung tetap sahaja, dengan satu kunjungan setiap hari.
Mereka yang sakit tenat boleh dikunjungi hingga lima pengunjung tetap dengan paling ramai dua pengunjung di sisi pesakit bagi setiap masa.
Semua pengunjung wad hospital harus menyarung pelitup dengan keupayaan penapisan yang baik seperti pelitup bedah dan pakai semula yang diperbuat daripada dua lapisan fabrik.
Makan dan minum tidak diizinkan dalam wad. Pengunjung juga tidak boleh menggunakan tandas di wad pesakit dan tidak diizinkan duduk di katil pesakit.
Pengunjung ke wad hospital dan rumah jagaan juga perlu menunjukkan hasil ujian pantas antigen (ART) yang sah dan negatif serta diperolehi dalam masa 24 jam lalu sebelum kunjungan.
ART itu wajib bagi semua pengunjung tanpa mengira status vaksinasi, kecuali mereka yang pulih daripada Covid-19 dan boleh menunjukkan notis pengecualian ujian praacara yang sah.
Pengunjung yang lengkap divaksin atau secara perubatan tidak layak boleh menjalani ART yang ditadir sendiri tanpa penyeliaan atau memilih untuk melakukan ART yang diselia.
Mereka yang mentadbir sendiri ART perlu menunjukkan bukti keputusan ART yang sah, sebagai contoh, memberi foto hasil ujian ART bertarikh yang dicap serta foto pengenalan untuk disahkan.
Pengunjung yang belum lengkap divaksin perlu menjalani ART dengan penyeliaan daripada penyedia ujian yang disahkan. Keputusan daripada ART tanpa penyeliaan tidak akan diterima bagi kumpulan pengunjung ini.