SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Covid-19: Lebih separuh di S'pura sedia terima vaksin

Covid-19: Lebih separuh di S'pura sedia terima vaksin

Gan gesa waspada percayai berita berkaitan vaksin, tolak berita enam orang maut disebabkan vaksin Pfizer-BioNTech
Jan 5, 2021 | 5:30 AM

Covid-19: Lebih separuh di S'pura sedia terima vaksin

LEBIH separuh orang yang ditinjau di Singapura berkata mereka bersedia menerima vaksin Covid-19 sebaik-baik sahaja ia boleh diberikan secara meluas.

Sepertiga daripada mereka pula mengambil sikap lebih berjaga-jaga dan berkata mereka ingin menanti lebih banyak data berkaitan vaksin itu sebelum membuat keputusan, kata Menteri Kesihatan Gan Kim Yong dalam kenyataan kementeriannya di Parlimen semalam.

Menurutnya, menambah agensi pemerintah menggunakan pelbagai saluran bagi memahami sentimen awam tentang vaksin Covid-19, termasuk menerusi tinjauan ramai.

Encik Gan berkata pemerintah akan terus mendekati masyarakat untuk menerangkan pentingnya vaksinasi dan memberi keyakinan akan keselamatan dan keberkesanan vaksinasi yang digunakan.

Beliau juga menggesa orang ramai supaya berjaga-jaga dalam mempercayai berita atau maklumat yang diterima berkaitan vaksin itu.

"Saya ingin menggesa semua supaya merujuk kepada sumber maklumat yang boleh dipercayai, dan tidak menyebarkan maklumat palsu atau yang tidak dapat disahkan," katanya.

Baru-baru ini disebarkan berita kononnya enam orang meninggal dunia disebabkan vaksin Pfizer-BioNTech semasa percubaan klinikal.

Namun, menurut Encik Gan, fakta menunjukkan hanya dua daripada enam individu tersebut diberikan vaksin dan empat menerima plasebo (bahan tidak aktif yang diberi kepada pesakit untuk dibandingkan dengan kesan ubat baru ditemui yang diberi kepada pesakit lain dalam sesuatu ujian).

Siasatan lanjut juga menunjukkan tiada sebarang kaitan antara vaksin itu dan kematian dua orang tersebut, tambah Encik Gan.

"Menyebarkan maklumat salah seperti itu menjejas usaha Singapura mempertahan diri dan juga warganya daripada Covid-19," ujarnya.

Dalam kenyataannya itu, Encik Gan juga menekankan program baru untuk memberi sokongan kepada mereka yang mengalami kesan sampingan teruk daripada vaksin Covid-19 yang diberi di Singapura akan diperkenal. Namun, beliau menjangka tidak ramai akan memerlukan sokongan itu.

Maklumat lanjut program bantuan kewangan bagi kecederaan berkaitan vaksin akan diumum tidak lama lagi.

"Seperti semua perubatan dan vaksin yang dihasilkan, ada risiko kecil kesan sampingan teruk selepas menerima vaksin, termasuk kesan alergi, walaupun ini jarang berlaku," katanya.

Encik Gan berkata mereka yang menerima vaksin itu akan dipantau selama 30 minit di tempat sama agar sebarang kesan alergi teruk, seperti anafilaksis (sensitif teruk terhadap protein atau bahan asing tertentu) boleh dikesan dan dirawat serta-merta.

Sementara itu, Encik Gan turut berkata mereka yang membuat keputusan menerima vaksin tersebut akan diberi kad vaksinasi fizikal, dan boleh melihat rekod vaksinasi mereka dalam talian.

Butiran seperti vaksinasi yang diterima individu dan tarikh dos kedua boleh didapati di kad vaksinasi itu. Rekod vaksinasi juga akan dikemas kini di Pendaftaran Imunisasi Nasional.

Menjawab pertanyaan Encik Louis Chua (GRC Sengkang), Encik Gan berkata individu tidak akan diberikan pilihan jenis vaksin Covid-19 yang akan diterima jika lebih daripada satu jenis vaksin diluluskan bagi penggunaan ramai.

Beliau berkata itu akan hanya "merumitkan proses vaksinasi yang memang sedia adanya rumit."

Pemberian vaksin akan dilakukan berdasarkan kesesuaiannya dengan kumpulan berbeza dalam masyarakat serta ketersediaan vaksin tersebut.

"Buat masa sekarang hanya vaksin Pfizer-BioNTech yang diluluskan dan boleh digunakan, jadi tiada pilihan lain," katanya.

MAKLUMAT SALAH JEJAS USAHA LAWAN COVID-19

"Saya ingin menggesa semua supaya merujuk kepada sumber maklumat yang boleh dipercayai, dan tidak menyebarkan maklumat palsu atau yang tidak dapat disahkan... Menyebarkan maklumat salah seperti itu menjejas usaha Singapura mempertahan diri dan juga warganya daripada Covid-19." - Menteri Kesihatan Gan Kim Yong.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg