LELAKI Singapura berusia 83 tahun dengan sejarah perjalanan dari India adalah antara 17 kes import jangkitan Covid-19 baru yang dikenal pasti pada Selasa (12 Januari).

Kementerian Kesihatan (MOH) dalam kenyataannya pada Selasa malam menjelaskan selain lelaki itu, dua wanita yang merupakan Penduduk Tetap (PR) Singapura turut disahkan positif Covid-19. Mereka kembali ke sini dari India dan Amerika Syarikat.

Dalam kalangan 17 kes itu, sebilangan besar iaitu 13 orang adalah pemegang permit kerja yang tiba ke sini dari India, Indonesia, Myanmar dan Filipina. Sebanyak 12 kes adalah pembantu rumah asing.

Baki satu kes pula adalah kru kapal warga India dengan Pas Khas yang datang ke sini menaiki kapal dari Jepun. Beliau duuji positif Covid-19 setibanya di Singapura dan digegaskan ke hospital sejurus ujian yang dilalui mengesahkan statusnya.

Semua kes import ini sudah diberi Notis Jangan Keluar Rumah (SHN) atau diasingkan setibanya di Singapura. Mereka diuji positif dalam tempoh SHN atau ketika diasingkan.

Sebanyak 26 kes lagi telah dibenarkan pulang dari hospital atau kemudahan pengasingan masyarakat.

Manakala 53 kes lagi masih dirawat di hospital dengan kebanyakannya berada dalam keadaan mantap atau kian pilih. Seorang pesakit berada dalam keadaan kritikal di Unit Jagaan Rapi (ICU) manakala 170 kes pula diasingkan dan dijaga di kemudahan masyarakat.