PENGUASA Pengangkutan Darat (LTA) sedang mengkaji data dan akan memperhalusi cara ia menyesuaikan bekalan pengangkutan awam dengan permintaan yang berkurangan semasa tempoh pemutus litar ini, kata Menteri Pengangkutan Khaw Boon Wan.
Penyesuaian ini akan dilaksana pada Isnin (20 April), kata beliau yang akur ada kesesakan berlaku di laluan kereta api Utara-Selatan dan Timur-Barat (NSEWL) dan laluan Circle Line (CCL) pada hari pertama penyesuaian ini dilakukan pada Jumaat (17 April).
Namun, sebarang perubahan akan dilakukan dengan mematuhi jarak selamat dan memberi keutamaan kepada pekerja, kata Encik Khaw.
"Saya memberitahu LTA supaya bersikap murah hati, iaitu menyediakan lebih banyak pengangkutan awam daripada perlu dan supaya tidak menyediakan kurang daripada yang perlu," kata Encik Khaw, menulis di Facebook pasa Sabtu (18 April).
Menurut Encik Khaw, permintaan bagi bas dan kereta api telah menjunam dalam tempoh pemutus litar dan pihaknya sedang menyesuaikan permintaan dengan bekalan, tanpa menyebabkan kesesakan atau menjejas dasar jarak selamat.
"Keutamaan kami adalah mematuhi jarak selamat dan memastikan pekerja perkhidmatan penting dapat tiba di tempat kerja dengan selamat dan tepat pada masanya," kata Encik Khaw.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg