PERSATUAN Rakyat (PA) telah melancarkan dua program digital yang mengetengahkan kursus yang direka khas untuk menggalak penduduk kekal aktif sedang pemerintah menasihati warga agar terus duduk di rumah di tengah-tengah penularan wabak Covid-19 sekarang.
Program 'PAssion L!VE' yang berlangsung dari sekarang hingga 8 Mei memaparkan pelbagai kursus gaya hidup yang distrim secara langsung ke Facebook dan Youtube Kursus PA.
Di samping itu, program 'Virtual CC' atau kelab masyarakat alam maya pula, memperkenal kursus yang turut distrim di berbagai Facebook kelab masyarakat.
Orang ramai boleh mengakses kedua-dua program digital dengan mudah agar dapat meneruskan gaya hidup aktif dan pada masa yang sama memenuhi keperluan pembelajaran dan pembangunan mereka semasa tempoh pemutus litar sekarang.
Kedua-duanya menawarkan pelbagai kursus termasuk senaman, berdansa, kulinari, hobi dan kelas bahasa.
Mengulas, Pengarah (Kemahiran Hidup dan Gaya Hidup) PA Encik Kia Siang Wei berkata: "Satu daripada cara untuk memastikan masyarakat, terutama warga tua, kekal sihat dan aktif semasa tempoh ini ia menerusi penggunaan platform media sosial." "Penduduk juga boleh terus kekal aktif dengan kemahiran hidup yang mudah diaksses dan kursus gaya hidup yang boleh mereka lakukan dengan mudah di rumah masing-masing."
Dalam 'PAssion L!VE', yang distrim dari Isnin hingga Jumaat bermula 9 pagi hingga 4 petang, orang ramai boleh menyaksikan program video selama 30 minit yang diterbitkan khas oleh pelatih PA.
Ia juga dihoskan beberapa selebriti tempatan seperti Chua Enlai dan Irene Ang. Bagi melengkapi inisiatif itu, program 'Virtual CC' juga direka agar peserta yang menghadiri kursus di kelab masyarakat dapat meneruskan pembelajaran dan pembangunan dalam talian dengan para pelatih.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg