SEBUAH pasangan suami isteri telah ditangkap kerana disyaki membocorkan draf kenyataan media mengenai penutupan sekolah akibat Covid-19 sebelum ia dikeluarkan secara rasmi.
Seorang wanita berusia 37 tahun dan seorang lelaki berusia 38 tahun ditangkap atas kesalahan menyebar maklumat yang tidak dibenarkan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA), kata polis dala kenyataannya pada Ahad (5 April).
Menurut polis, ia menerima laporan sekitar 5.45 petang pada Jumaat (3 April) mengenai draf kenyataan media bersama mengenai penutup sekolah akibat penularan Covid-19 yang dibocorkan kepada awam.
Kenyataan itu disiapkan oleh Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) dan Kementerian Pendidikan (MOE), untuk mengumumkan perincian pelaksanaan sepenuhnya pembelajaran dari rumah oleh sekolah-sekolah dan Institut Pengajian Tinggi, serta penutupan prasekolah dan pusat jagaan pelajar.
Siasatan awal menunjukkan wanita tersebut, seorang pegawai awam yang dibenar menerima kenyataan media itu, disyaki mengambil screenshot atau tangkap layar kenyataan itu di komputer dan berkongsi imej itu dengan suaminya menerusi WhatsApp sekitar 9 pagi hari itu.
Suami beliau, yang bukan antara pihak yang dibenarkan menerima kenyataan media itu, selanjutnya, berkongsi imej itu dengan rakan-rakannya.
Imej itu disebar menerusi WhatsApp dan wadah media sosial lain beberapa jam sebelum kenyataan media rasmi dikongsi kepada media pada 4.30 petang.
Siasatan polis sedang berlangsung.
Polis berkata pemerintah menganggap serius sebarang penyebaran maklumat sulit dan akan menangani keadan itu dengan tegas.
Jika sabit kesalahan, seseorang boleh dikenakan denda sehingga $2,000 dan dipenjarakan sehingga dua tahun.
Dalam pada itu, polis memberi amaran bahawa pihak yang menerima pesanan WhatsApp tersebut dan tidak dibenarkan untuk menerimanya tidak harus terus berkongsinya dengan orang lain, kerana mereka juga boleh dikenakan tindakan di bawah OSA.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg