Topik diikuti
Pergi ke BHkuCovid-19: Pekerja kargo AirMark Aviation antara 2 kes baru dalam masyarakat; Crowne Plaza Changi Airport diarah tutup 14 hari
Covid-19: Pekerja kargo AirMark Aviation antara 2 kes baru dalam masyarakat; Crowne Plaza Changi Airport diarah tutup 14 hari
Covid-19: Pekerja kargo AirMark Aviation antara 2 kes baru dalam masyarakat; Crowne Plaza Changi Airport diarah tutup 14 hari
KEMENTERIAN Kesihatan (MOH) berkata daripada dua kes Covid-19 baru dalam masyarakat yang dikesan pada Khamis (7 Januari), satu merupakan lelaki warga Singapura 63 tahun yang bertugas sebagai pengendali kargo firma AirMark Aviation. Syarikat itu beroperasi di Pusat Kargo Dnata, 45 Airport Cargo Road.
Beliau mengendalikan pemuatan dan pemunggahan kargo bagi syarikat penerbangan My Indo Airlines dan tidak berinteraksi dengan penumpang pesawat.
MOH pada Khamis malam berkata pesakit tersebut mula menunjukkan simptom jangkitan pernafasan akut (ARI) pada 4 Januari dan telah pergi ke Hospital Besar Changi pada Rabu (6 Januari) untuk menerima rawatan.
Beliau disahkan positif Covid-19 pada hari tersebut dan telah dimasukkan wad. Ujian serologikalnya masih sedang dinantikan.
Sebelum memasuki hospital, beliau telah pergi ke kerja selepas menunjukkan simptom.
Lagi satu kes dalam masyarakat melibatkan seorang wanita warga Malaysia yang bertugas di restoran Azur, Crowne Plaza Changi Airport.
Beliau pekerja kedua dari restoran berkenaan yang dilaporkan positif Covid-19 selepas seorang warga Korea yang bertugas di situ turut disahkan positif pada Rabu (6 Januari).
Pemegang permit kerja 43 tahun itu bertugas sebagai penghantar makanan bagi kru pesawat dan tetamu hotel. Namun beliau tidak berinteraksi bersama tetamu di restoran itu.
Wanita tersebut mula menunjukkan simptom semasa bertugas pada 3 Januari lalu, dan telah pergi ke klinik umum untuk mendapatkan rawatan pada 5 Januari.
Di situ beliau diuji bagi Covid-19.
Hasil ujian positif sehari kemudian dan beliau kemudian dibawa ke Pusat Nasional bagi Penyakit Berjangkit dengan menaiki ambulans.
Ujian serologikalnya didapati negatif menandakan jangkitan baru.
Siasatan awal menunjukkan beliau mungkin tidak menghidap varian B117, iaitu sejenis varian Covid-19 yang lebih mudah merebak.
Keputusan ujian dijadual beliau sebelum ini - kali terakhir pada 31 Disember - turut negatif.
MOH berkata pihaknya sedang menyiasat dua kes terbaru yang tidak berkait itu (590281 dan 59059) di Crowne Plaza Changi Airport. Siasatan awal menunjukkan MOH tidak dapat menolak kemungkinan penularan berlaku di hotel tersebut. Justeru sebagai langkah berwaspada, hotel tersebut akan ditutup 14 hari dari 8 Januari hingga 21 Januari. Hotel itu akan berhenti menerima tetamu baru dan kru penerbangan asing.
Tetamu yang sedang menginap di hotel tersebut akan dikeluarkan secara progresif.
MOH berkata kru penerbangan yang baru tiba akan ditempatkan di kemudahan alternatif, manakala restoran dan ruang acara dalam hotel akan ditutup.
Semasa ditutup, kerja-kerja pembersihan dan pembasmian kuman secara teliti akan dilaksanakan hotel dengan perundingan bersama MOH dan Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA).
MOH juga telah memulakan operasi ujian khas bagi semua kakitangan hotel berkenaan.
Selain dua kes dalam masyarakat itu, Singapura juga melaporkan 31 kes import baru. Tiada kes dilaporkan di dormitori pekerja asing.