SATU-SATUNYA kes baru Covid-19 dalam masyarakat yang dilaporkan pada Jumaat (26 Mac) merupakan seorang pembantu rumah migran warga Myanmar.

Kesnya tiada kaitan dengan kes lain buat masa ini, dedah Kementerian Kesihatan (MOH) dalam kenyataannya.

Wanita berusia 26 tahun itu tiba dari Myanmar pada 23 Januari dan diberi Notis Jangan Keluar Rumah (SHN), yang dilaluinya di kemudahan khas SHN sehingga 6 Februari lalu.

Ujian yang dijalaninya pada 5 Februari didapati negatif Covid-19.

Setelah SHN, wanita itu berpindah ke asrama bagi pembantu rumah migran sambil menunggu diambil kerja oleh majikannya.

Beliau tidak meninggalkan asrama tersebut dari 6 Februari hingga 23 Mac, kata MOH.

Pada 23 Mac, beliau mula bekerja di rumah majikannya dan pada malam yang sama mula mengalami batuk-batuk dan selesema.

Beliau didapati positif Covid-19 pada 25 Mac apabila diuji di klinik ketika mendapatkan rawatan pada hari sebelumnya.

Namun, satu lagi ujian susulan mendapati beliau negatif Covid-19 walaupun ujian serologinya mendapati beliau positif virus itu.

"Beliau mungkin memiliki sisa kecil RNA virus itu daripada jangkitan lepas, tetapi oleh kerana kami tidak dapat mengesahkan dengan pasti sama ada beliau telah dijangkiti sebelum ketibaannya ke Singapura, kami akan mengambil semua tindakan kesihatan awam yang patut sebagai langkah berjaga-jaga," kata MOH.

Sementara itu, kementerian tersebut berkata terdapat 11 kes baru Covid-19 yang diimport hari ini, kesemuanya sudah diberi SHN.