MAKLUM balas awam yang diberikan kepada pihak berkuasa mengenai perbuatan melanggar peraturan jarak selamat harus tertumpu pada isu dan tidak digunakan untuk menjadikan sasaran sebarang individu atau kaum, kata Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia Grace Fu.
Menurut Cik Fu, beliau berbesar hati kerana ramai warga Singapura yang meluahkan rasa keprihatinan dan sokongan bagi golongan yang memerlukan dalam tempoh penularan Covid-19 ini.
Namun, walau akur jumlah kes jangkitan yang meningkat mencetus kebimbangan, Cik Fu berkata beliau terluka apabila membaca tentang sebahagian individu yang sengaja menjadikan sasaran sesetengah kaum dan mengarahkan kekecewaan mereka terhadap kumpulan itu, dengan alasan ingin mempertahankan peraturan jarak selamat.
"Kita tidak boleh membiarkan perbuatan yang membezakan atau mengancam orang dari kaum lain, kumpulan masyarakat berbeza atau warga negara lain," kata Cik Fu, menulis di Facebook pada Ahad (19 April).
"Covid-19 adalah ujian bagi daya bingkas masyarakat kita. Ia juga menguji perwatakan kita sebagai satu negara. Kita harus memilih supaya kekal berhubungan dengan rakan-rakan dan keluarga dan mencari cara untuk menaikkan semangat satu sama lain. Inilah caranya kita boleh mengatasi cabaran ini bersama," ujar Cik Fu.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg