RANCANGAN pembinaan stesen MRT Laluan Rentas Pulau (CRL) akan membaiki jaringan pengangkutan kawasan barat yang akan memberi kemudahan kepada para penduduk dan peniaga yang tinggal berhampiran dengan stesen-stesen itu.
Meskipun pembinaan itu mengambil masa yang lama selama 10 tahun, mereka berkata kemudahan pengangkutan itu memang dialu-alukan bagi mempercepat perjalanan mereka serta memudahkan pelanggan untuk ke kedai mereka.
Baru-baru ini, Menteri Pengangkutan, Encik S Iswaran mengumumkan bahawa enam lagi stesen akan dibina di CRL di bawah fasa kedua dan ia dijangka buka pada 2032.
Stesen yang akan dibina termasuk Turf City, King Albert Park, Maju, Clementi, West Coast dan Jurong Lake District dan akan memberi manfaat kepada 40,000 isi rumah apabila ia siap dibina.
Antara yang mengalu-alukan pembinaan stesen itu adalah Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) Kelab Masyarakat (CC) Ayer Rajah, Encik Shahrin Abdol Salam yang percaya pembinaan stesen-stesen ini akan dapat menyemarakkan lagi suasana di estet barat Singapura.
"Selain perkembangan binaan Laluan Daerah Jurong (JRL), berita CRL ini akan 'menghidupkan' lagi suasana di kawasan rangkaian ini kerana lebih ramai orang kini lebih terhubung di bahagian barat Singapura.
"Jadi dengan kemudahan yang disediakan sebegini, ia akan memberi kesan yang lebih positif kepada kejiranan kami," kata Encik Shahrin, 48 tahun.
Bagi penduduk West Coast, Cik Zahidah Halim, 52 tahun, stesen yang akan dibina boleh mengurangkan masa untuk pergi ke stesen MRT.
"Sebelum ini saya perlu naik bas untuk ke stesen yang paling dekat iaitu stesen Clementi dan akan mengambil masa sekitar 15 minit. Jadi, ini akan bantu mempercepatkan lagi masa perjalanan ke destinasi saya kerana stesen akan dibina berhampiran dengan rumah saya," katanya yang tinggal di Blok 512 West Coast Drive.
Kerja binaan dijangka bermula menjelang hujung tahun ini dan selesai pada 2032.
Selain beliau, peniaga gerai Nasi Padang Warong Pojok di Pusat Makanan Ayer Rajah, Cik Siti Walidah, 53 tahun turut gembira dengan pembinaan stesen di CRL itu.
Ini kerana stesen West Coast "tidak berjauhan" dengan Pusat Makanan Ayer Rajah di mana beliau telah menjual nasi padang di situ sejak dua tahun lalu.
"Dengan adanya stesen yang berdekatan ini, lebih senang pelanggan untuk ke sini dan menikmati pelbagai juadah makanan yang ada sini.
"Ini juga membantu pelanggan setia kami yang mungkin tinggal berjauhan untuk datang tanpa perlu tunggu lama menaiki bas ataupun teksi," kata Penduduk Tetap (PR) yang berasal dari Indonesia itu yang mengendalikan gerai.
Pusat Makanan Ayer Rajah yang cukup popular di kalangan masyarakat Melayu yang gemar menjamu selera di sana, dijangka mendapat rangsangan apabila Stesen MRT West Coast siap kelak.
Stesen itu dijangka terletak sekitar lima minit berjalan kaki dari Pusat Makanan Ayer Rajah.
Seorang penduduk yang tinggal di Sunset Way, Cik Suriah Aman, 54 tahun, juga menyambut baik pembinaan Stesen MRT Maju.
"Estet perumahan Sunset Way tidak mempunyai sistem pengangkutan MRT berdekatan. Jadi, untuk mempunyai stesen MRT dekat dengan rumah amat dinanti-nantikan. Cuma harapan saya agar pembinaannya dipercepatkan. Saya juga harap harga flat saya akan naik," kata pegawai perkhidmatan yang tinggal di sebuah flat masionet di Sunset Way.
Sehubungan perkembangan rangkaian MRT itu, nilai hartanah di kawasan berhampiran stesen-stesen itu bakal meningkat, menurut beberapa ejen hartanah dan laman hartanah tempatan.
Meskipun penduduk bakal berdepan dengan gangguan, Encik Shahrin percaya mereka yang terjejas akan lebih memahami manfaat jangka panjang pembinaan stesen itu.
"Saya rasa gangguan adalah pada tahap minimum termasuk bunyi bising atau lencongan jalan raya yang akan menjejas penduduk di kawasan tapak pembinaan.
"Tetapi gangguan ini adalah pada jangka masa pendek dan saya percaya mereka lebih menantikan manfaat yang mereka boleh peroleh dalam jangka masa panjang menerusi stesen pengangkutan ini," ujar Encik Shahrin.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg