Topik diikuti
Pergi ke BHkuCSA: Kebocoran data di S’pura bukan serangan terancang dan diselaras
CSA: Kebocoran data di S’pura bukan serangan terancang dan diselaras
Purata bulanan insiden siber yang dilaporkan kini meningkat tiga kali ganda berbanding purata bagi tempoh Januari hingga Ogos.
Demikian menurut Agensi Keselamatan Siber (CSA) Singapura.
Dalam satu kenyataan media pada 13 November mengenai insiden siber yang baru-baru ini dilaporkan, CSA berkata kejadian tersebut tidak kelihatan sebagai sebahagian daripada kempen serangan terselaras yang menyasarkan Singapura.
“Sebaliknya, ia mencerminkan trend lebih luas serangan siber secara oportunis di peringkat sejagat.
“Beberapa insiden turut melibatkan pembekal pihak ketiga yang sistemnya telah diceroboh, sekali gus menekankan kepentingan mengurus risiko dalam rantaian bekalan,” ujar agensi itu.
Menerangkan trend tersebut, CSA berkata pelaku ancaman siber secara aktif mengimbas Internet untuk mencari sistem yang mempunyai kelemahan.
“Justeru, ini boleh menyebabkan sesebuah pertubuhan menjadi mangsa serangan meskipun tidak disasarkan secara khusus,” tambahnya.
Di samping itu, CSA turut menegaskan penggunaan kecerdasan buatan (AI) yang semakin meningkat dalam kalangan pelaku ancaman siber boleh mempercepatkan lagi proses mengenal pasti dan mengeksploitasi kelemahan sistem.
Ini termasuk mengesan maklumat log masuk yang terdedah dalam repositori awam, menghasilkan taktik manipulasi sosial yang lebih meyakinkan, serta mengenal pasti dan mengeksploitasi kelemahan perisian dengan lebih pantas dan meluas.
“Ini sekali gus memendekkan tempoh masa yang dimiliki pertubuhan untuk mengesan dan menangani kelemahan keselamatan sebelum sistem mereka diceroboh.
“Perkembangan ini menimbulkan risiko yang semakin meningkat kepada semua organisasi di Singapura, yang boleh berdepan gangguan operasi, kerosakan reputasi dan kerugian kewangan akibat serangan siber yang berjaya dilakukan,” jelas agensi tersebut.
Kenyataan berkenaan menyusuli beberapa kejadian kebocoran data melibatkan penyedia perkhidmatan kesihatan dan organisasi lain sejak kebelakangan ini.
Sejak awal November, antara pertubuhan yang terjejas termasuk beberapa penyedia perkhidmatan kesihatan, SPH Media, M1, SATS Food, serta portal kewangan peribadi, MoneySmart.
Menurut CSA, pemerhatian awal menunjukkan banyak kejadian yang berlaku baru-baru ini berpunca daripada kelemahan keselamatan lazim, khususnya yang melibatkan sistem pihak ketiga dan prasarana digital yang terdedah kepada ancaman.
Ini termasuk sistem yang tidak dikemas kini untuk menangani kelemahan keselamatan dan terdedah kepada akses luar, pengurusan identiti dan akses yang lemah, risiko melibatkan pihak ketiga serta rantaian bekalan, dan taktik manipulasi sosial (social engineering).
Sementara itu, Suruhanjaya Perlindungan Data Peribadi (PDPC) dalam kenyataannya pada 13 November berkata kebocoran data baru-baru ini yang melibatkan beberapa pertubuhan dipercayai berpunca daripada serangan siber secara rambang, tanpa sebarang kaitan jelas antara satu sama lain.
“Pertubuhan perlu menjalankan pemeriksaan secara berkala bagi mengenal pasti kelemahan sistem serta mempunyai rancangan untuk memasang kemas kini keselamatan, melindungi akses dan maklumat kelayakan log masuk, serta menggunakan kaedah penyulitan yang memenuhi piawaian industri bagi melindungi data sensitif atau menyimpannya secara luar talian.
“Organisasi juga hanya perlu mengumpul data yang diperlukan, tidak menyimpan data yang tidak lagi diperlukan serta mengambil langkah pencegahan kehilangan data bagi melindunginya daripada dicuri tanpa kebenaran,” ujar PDPC.