Penduduk Singapura boleh menjangka cuaca panas berterusan sepanjang dua minggu mendatang, dengan lebih banyak hari diramal panas dan hanya sedikit hari diramal hujan pada separuh kedua Jun ini.
Suhu cuaca tertinggi harian diramal sekitar 34 darjah Celsius dan boleh naik setinggi 35 darjah Celsius bagi beberapa hari tertentu apabila kurang berawan, kata Khidmat Kaji Cuaca Singapura (MSS) pada Jumaat.
Akan terdapat beberapa malam yang cuacanya diramal panas dan berbahang dengan suhu dijangka mencecah sekitar 29 darjah Celsius.
Pada masa sama, tempoh tersebut diramal melihat lebih kurang hujan berbanding paras purata separuh pertama Jun.
Namun, cuaca hujan bertempoh pendek berserta guruh bakal berlaku pada beberapa hari tertentu pada tengah hari dan pada waktu fajar dan pagi, kata MSS.
“Separuh kedua Jun 2023 dijangka lebih kering berbanding separuh pertama bulan ini,” kata MSS.
“Kehadiran angin kering boleh menyebabkan cuaca sederhana dan panas dalam beberapa hari pada dua minggu mendatang.”
“Secara keseluruhan, kami menjangka hujan lebih rendah daripada paras purata pada separuh kedua Jun 2023,” kata MSS.
Suhu cuaca tertinggi yang direkodkan dalam dua minggu pertama Jun ialah 34.7 darjah Celsius di Pulau Ubin pada 2 Jun.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg