SEORANG lelaki dihukum penjara enam minggu kerana membuat pengisytiharan palsu dalam permohonan permit kerja bagi seorang pembantu rumah migran. Hafizuddin Jaafar, 34 tahun, juga didenda $50,740 kerana mengambil wang sogokan daripada pembantu rumah itu untuk membuat permohonan bagi permit kerja dan seterusnya mengekalkan kesahihan permit kerja itu. Mahkamah turut mengarahkan Hafizuddin membayar $1,700 yang merupakan sebahagian daripada jumlah yang dia ambil daripada pembantu rumah itu. Dalam kenyataannya pada Jumaat, Kementerian Tenaga Manusia (MOM) berkata siasatannya mendedahkan bahawa pada 8 Januari 2018, Hafizuddin membuat pengisytiharaan palsu dalam permohonan permit kerja seorang pembantu rumah migran bahawa dia akan menggajikan seorang wanita warga Filipina berusia 36 tahun itu sebagai pembantu rumah di kediamannya. Bagaimanapun kedua-dua mereka tidak berniat untuk pembantu rumah itu bekerja buat Hafizuddin. Sebaliknya niat mereka adalah untuk pembantu rumah itu kekal di Singapura dan mencari kerja lain. Hafizuddin kemudian membuat permohonan untuk memperbaharui permit kerjanya pada 23 Januari 2019. Kedua-dua permohonan diluluskan atas dasar yang wanita itu akan diambil bekerja oleh Hafizuddin sebagai pembantu rumah. Pembantu rumah itu memberi Hafizuddin sejumlah $9,380 antara Januari 2018 dengan Februari 2020 sebagai ganjaran bagi permohonan dan pembaharuan pas kerjanya yang berjaya. Dalam tempoh sama, pembantu rumah itu tidak melakukan sebarang kerja untuk Hafizuddin atau tinggal di rumahnya. Selepas siasatan MOM selesai, pembantu rumah itu diberi amaran tegas kerana membuat pengisytiharaan palsu dalam permohonan permit kerjanya dan kemudian dihantar pulang ke negaranya. Dia juga dilarang daripada bekerja di Singapura. MOM berkata semua majikan dan pemohon pas kerja mesti membuat pengisytiharaan yang tepat, lengkap dan benar kepada Pengawal Pas Kerja dalam permohonan pas kerja di bawah Akta Pekerjaan Tenaga Kerja Asing ("EFMA"). "Membuat pengisytiharan palsu adalah satu kesalahan yang serius. Jika didapati bersalah, pesalah boleh didenda hingga $20,000, atau dipenjara hingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali. Majikan yang ingkar akan digantung hak istimewa pas kerja mereka, dan pemohon pas kerja juga akan dihalang daripada bekerja di Singapura. Individu yang mengambil sogokan juga boleh didenda hingga $30,000, atau dipenjara hingga dua tahun, atau kedua-duanya," kata MOM. Ia menambah, di bawah EFMA, pembantu rumah hanya dibenarkan menjalankan tugas isi rumah dan domestik untuk majikan rasmi di alamat kediaman yang tertera pada kad permit kerja. Orang awam yang mengetahui kegiatan pekerjaan yang mencurigakan seperti penempatan pekerja pembantu rumah secara haram, atau yang mengetahui orang atau majikan yang telah melanggar EFMA, harus melaporkan perkara itu kepada MOM di mom_fmmd@mom.gov.sg. Semua maklumat akan dirahsiakan.