Cuba timbulkan keresahan kaum: Lelaki dijel dua minggu, denda $7,000
Cuba timbulkan keresahan kaum: Lelaki dijel dua minggu, denda $7,000
SEORANG lelaki yang cuba menimbulkan kemarahan antara kaum semasa musim pilihan raya tahun lalu dijatuhi hukuman penjara dua minggu dan denda $7,000.
Sirajudeen Abdul Majeed, 52 tahun, mengaku bersalah semalam atas satu tuduhan kerana sengaja berniat melukai perasaan kaum dan menggalakkan permusuhan antara kaum.
Dua tuduhan serupa menggalakkan permusuhan telah dipertimbangkan semasa hukuman dijatuhkan.
Pada 12 dan 13 Jun 2020, rakyat Singapura berketurunan India itu telah mengirim mesej kepada tiga kenalan dengan mendakwa "PAP ingin menjadikan masyarakat Melayu sebagai sub-minoriti", dan kaum lain diperkenalkan ke negara itu untuk "hanya melemahkan bangsa ibunda bahasa Melayu."
Dia juga meminta kenalannya itu "sebarkan" pesanan-pesanannya.
Timbalan Pendakwa Raya Ng Yiwen berkata Sirajudeen berniat menimbulkan kebimbangan bahawa Parti Tindakan Rakyat (PAP) berusaha meminggirkan orang Melayu di negara ini dengan membenarkan lebih banyak pendatang masuk ke sini.
"Mesej-mesej ini akan mendorong perkara tidak baik antara kumpulan berlainan, suatu fakta yang pasti diketahui oleh tertuduh ketika dia mengirim pesan-pesan tersebut," tambahnya.
Salah seorang kenalannya itu kemudian membuat laporan polis terhadap Sirajudeen.
Pada 5 Ogos tahun lalu, Sirajudeen menghubungi polis menerusi talian 999 sebanyak dua kali dan membuat komen yang tidak sensitif terhadap kaum yang disasarkan kepada orang Melayu.
Dia juga membuat kenyataan bahawa pegawai polis tidak cekap kerana bangsa Melayu mereka.
Sirajudeen kemudian disoal siasat polis.
Ketika ditanya mengenai kenyataan yang dibuatnya berhubung bangsa Melayu, Sirajudeen mendakwa bahawa pegawai polis yang berusan dengannya adalah golongan yang cenderung bersikap buruk.
Dia selanjutnya memberi pendapat bahawa orang Melayu tidak dapat memasuki unit Angkatan Udara, Tentera Laut dan komando Singapura kerana mereka tidak profesional.
Semalam, Hakim Daerah Salina Ishak berkata Sirajudeen maklum bahawa perkataan yang tidak peka tentang perkauman yang dinyatakannya semasa tempoh pilihan raya, boleh menimbulkan kemarahan yang ketara.
Sirajudeen kini dibebaskan dengan ikat jamin $5,000 dan dijangka serah diri pada 22 Februari untuk mulai menjalani hukumannya.
Disebabkan cuba menimbulkan permusuhan antara kaum, dia boleh dipenjara hingga tiga tahun dan didenda.
TERTUDUH DIDAKWA BERNIAT TIMBULKAN KEBIMBANGAN
"Mesej-mesej ini akan mendorong perkara tidak baik antara kumpulan berlainan, suatu fakta yang pasti diketahui oleh tertuduh ketika dia mengirim pesan-pesan tersebut." - Timbalan Pendakwa Raya Ng Yiwen.

