Apabila tibanya Ramadan, jemaah yang mengunjungi masjid selepas laungan azan Maghrib, sering kali akan disediakan teh harum berwarna merah yang disajikan hangat sebagai pembuka selera iftar atau sebagai pembekal tenaga sebelum solat tarawih.
Bekalan teh tersebut merupakan satu amalan infak yang telah dilaksanakan sejak berdekad lamanya oleh anak cucu jenama teh terkemuka itu, teh Haroon Bin Ali, yang juga dikenali sebagai Teh Cap Pokok Kelapa.
Bagi keluarga yang terdahulu pernah memiliki jenama itu sebelum ia diambil alih pemilik baru pada 2021, infak itu merupakan satu kenangan bagi memperingati Allahyarham Abdul Razak Sibli, yang meninggal dunia dalam tidurnya pada tengah malam 9 Mac.
Arwah Abdul Razak, 82 tahun, merupakan cucu pengasas jenama teh itu, Allahyarham Haroon Bin Ali, yang berasal dari Gogha, India.
Teh itu, yang dihasilkan daripada daun-daun teh Ceylon, dijual di sini sejak 1918.
Allahyarham Abdul Razak mengambil alih perniagaan itu pada 1995 daripada arwah ayahnya, Allahyahram Mohd Sibli Haroon, yang memimpin perniagaan itu sejak sekitar 1950-an.
Ini juga menjadikan Arwah Abdul Razak sebagai anggota keluarga terakhir yang mewarisi jenama itu sebelum ia diganti pemilik pada 2021.
Menurut isteri arwah Abdul Razak, Cik Shaeeda Ismail Moosa Ariff, 74 tahun, arwah meninggal dunia atas sebab penyakit Parkinson’s tahap lewat.
Beliau meninggal dunia di rumahnya di Rivervale Walk, Sengkang, katanya.
Arwah disahkan menghidap penyakit berkenaan sejak lebih 18 tahun lalu dan tidak berupaya berjalan atau bergerak sendiri tanpa bantuan.
“Suami saya seorang yang sangat penyayang,” kata Cik Shaeeda ketika dihubungi.
“Walaupun beliau jarang sebut sayang, kesayangannya kepada keluarganya boleh dilihat daripada wajahnya yang bercahaya, serta amalan dan sumbangannya kepada keluarganya,” ujar suri rumah itu, yang selain membesarkan dua orang anak, telah membantu arwah memajukan perniagaannya.
Jenazah Allahyarham Abdul Razak telah disembahyangkan di Masjid Sultan dan kemudian selamat disemadi di Pusara Aman selepas zuhur pada 9 Mac.
Beliau meninggalkan seorang isteri, seorang anak perempuan dan seorang anak lelaki, serta dua cucu lelaki.
Anak lelaki arwah, Encik Mohamed Farhan Abdul Razak, 43 tahun, berkata keadaan arwah ayahnya – yang lebih mesra dipanggil ‘Abah’ – bertambah rumit apabila beliau mengalami semput dan radang paru-paru hingga perlu dirawat di Hospital Besar Sengkang pada Januari.
Encik Farhan, yang tinggal dan bekerja di Kuala Lumpur, Malaysia, dalam bidang Teknologi Maklumat (IT), telah menginap di sini sejak itu kerana mahu menjaga arwah bapanya serta ibunya.
“Selepas diizinkan keluar dari hospital, Abah telah meluahkan niat sekiranya beliau akan pergi, beliau mahu bersama keluarganya,” ujar beliau.
Cik Shaeeda berkata salah satunya amalan arwah suaminya yang dikenang dan dilaksanakan hingga hari ini adalah pengagihan antara 20 dengan 50 kilogram serbuk teh kepada hampir 12 masjid di Singapura setiap Ramadan.
Amalan infak tersebut telah dilakukan sejak era arwah ayahnya, katanya.
“Kini amalan mengagihkan serbuk teh itu masih diteruskan oleh syarikat yang mengambil alih perusahaan Teh Cap Pokok Kelapa, Haroon Bin Ali,” ujarnya lagi.
“
“Suami saya seorang yang sangat penyayang. Walaupun beliau jarang sebut sayang, kesayangannya kepada keluarganya boleh dilihat daripada wajahnya yang bercahaya, serta amalan dan sumbangannya kepada keluarganya.”

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg