PEMBELI hartanah perumahan dan bukan perumahan bernilai tinggi akan membayar kadar cukai setem pembeli (BSD) lebih tinggi bagi hartanah yang diperolehi mulai Rabu.
Yuran Pendaftaran Tambahan (ARF) bagi kereta lebih mahal pula akan dinaikkan dalam tender Sijil Hak Memiliki Kenderaan (COE) yang seterusnya pada Februari, manakala cukai produk tembakau telah dinaikkan sebanyak 15 peratus mulai Selasa.
Perubahan kepada sistem cukai itu diumumkan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong, sebagai sebahagian langkah meningkatkan pendapatan bagi membiayai perbelanjaan lebih tinggi.
Bagi hartanah perumahan, bahagian nilai melebihi $1.5 juta dan hingga $3 juta akan dicukai 5 peratus, manakala bahagian nilai melebihi $3 juta akan dicukai 6 peratus; naik daripada 4 peratus sebelum ini.
Perubahan ini dijangka akan menjejas 15 peratus hartanah perumahan, kata Encik Wong.
Bagi hartanah bukan perumahan pula, bahagian nilai melebihi $1 juta dan hingga $1.5 juta akan dicukai 4 peratus, manakala bahagian nilai melebihi $1.5 juta akan dicukai 5 peratus - naik daripada 3 peratus sebelum ini.
Perubahan kepada rejim BSD akan berkuat kuasa kepada semua hartanah yang diperolehi mulai Rabu, dan ini dijangka menjana pendapatan tambahan $500 juta setiap tahun, bergantung pada pasaran hartanah.
Bagi cukai kenderaan pula, pembeli kereta dengan nilai pasaran terbuka (OMV) melebihi $40,000 akan membayar kadar ARF lebih tinggi.
Contohnya, bagi tahap tertinggi OMV melebihi $80,000, kadar baru ARF ialah sebanyak 320 peratus OMV, naik daripada 220 peratus.
Rebat ARF Pilihan (PARF) akan dihadkan kepada $60,000 untuk mengelak rebat yang berlebihan bagi kereta mahal apabila pendaftaran dibatalkan, kata Encik Wong.
Perubahan kepada cukai kenderaan dijangka menjejas sepertiga kereta dengan OMV paling tinggi. Pembeli kereta dengan OMV kurang $40,000 tidak akan terjejas.
Perubahan ARF dijangka menjana pendapatan tambahan sebanyak $200 juta setiap tahun, bergantung pada pasaran kenderaan, kata Encik Wong.
Kenaikan cukai produk tembakau sebanyak 15 peratus pula dijangka menjana pendapatan tambahan sekitar $100 juta setiap tahun.
Encik Wong turut mengumumkan perubahan cukai untuk menyokong perniagaan dan memperkukuh daya saing Singapura, termasuk dari segi cukai korporat.
Syarikat berbilang negara boleh menjangkakan cukai minimum 15 peratus, sedang Singapura merancang melaksanakan tunggak kedua Hakisan Dasar dan Peralihan Untung (Beps 2.0) mulai 2025.
Encik Wong berkata sedang pelbagai cara dikaji untuk meningkatkan pendapatan pada masa depan, pemerintah akan memastikan sistem keseluruhan cukai dan faedah adalah adil dan progresif.
"Sistem kita berdasarkan tanggungjawab bersama. Setiap warga berperanan dalam pembangunan negara. Semua orang menyumbang sesuatu, tetapi mereka yang bernasib lebih baik akan menyumbang lebih," kata Encik Wong.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg