Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Daftar masuk SafeEntry lebih mudah, cepat mulai 19 April

Mar 17, 2021 | 5:30 AM
LEBIH MUDAH DAN CEPAT: Kotak Pintu Masuk SafeEntry membolehkan orang ramai menggunakan aplikasi atau token TraceTogether dan menyentuhkan alat mereka pada kotak pintu masuk ini bagi daftar masuk. - Foto BH oleh ONG WEE JIN
LEBIH MUDAH DAN CEPAT: Kotak Pintu Masuk SafeEntry membolehkan orang ramai menggunakan aplikasi atau token TraceTogether dan menyentuhkan alat mereka pada kotak pintu masuk ini bagi daftar masuk. - Foto BH oleh ONG WEE JIN -

PROSES daftar masuk SafeEntry ke tempat awam akan lebih mudah dan cepat mulai 19 April, selepas satu sistem sentuh masuk (tap-in) baru diperkenal.

Kotak Pintu Masuk SafeEntry (SafeEntry Gateway Box) baru dilancarkan semalam di pusat beli-belah Nex di Serangoon Central oleh Pejabat Negara Bijak dan Pemerintah Digital (SNDGO). Ia diuji di pusat beli-belah itu mulai 15 Februari.

Untuk daftar masuk, pengunjung boleh menggunakan aplikasi atau token TraceTogether dan menyentuh alat mereka pada kotak pintu masuk, yang saiznya lebih besar sedikit daripada telefon bimbit.

Alternatifnya, pengendali sesebuah tempat, misalnya pasar raya atau kedai besar, boleh memuat turun versi terkini Aplikasi SafeEntry (Perniagaan) pada telefon bimbit mereka dan menggunakannya, dan bukan kotak pintu masuk, bagi pengunjung melakukan daftar masuk.

Sistem Pintu Masuk SafeEntry itu dirancang dilancarkan di beberapa tempat yang dikunjungi ramai orang, seperti pusat beli-belah, kedai runcit kendiri besar, pawagam, hospital, poliklinik, serta tempat mesyuarat, insentif, konvensyen dan pameran (Mice) mempunyai lebih 100 peserta.

Kaedah daftar masuk SafeEntry menggunakan kod QR dan kad pengenalan pengunjung yang digunakan sekarang akan terus digunakan di tempat itu.

Pemerintah telah mengenal pasti tempat dengan jumlah pengunjung tinggi yang perlu melaksana sistem Pintu Masuk SafeEntry mulai 19 April. Ini termasuk kedai dalam pusat beli-belah yang ramai pengunjung. Misalnya, pasar raya di pusat beli-belah perlu ada sistem Pintu Masuk SafeEntry bagi kedua-duanya, pasar raya dan pusat beli-belah itu.

Kotak pintu masuk itu beroperasi dengan bertukar-tukar isyarat Bluetooth dan aplikasi TraceTogether pada telefon bimbit atau token dalam jarak 25 sentimeter.

Dengan memegang aplikasi atau token TraceTogether dekat dengan kotak itu, kotak itu akan mengeluarkan bunyi bip dan menunjukkan lampu hijau.

Aplikasi SafeEntry (Perniagaan) beroperasi dalam cara serupa, dan akan juga mengeluarkan bunyi bip serta memaparkan skrin hijau.

Pengguna aplikasi TraceTogether perlu membuka aplikasi mereka untuk daftar masuk.

Pengunjung masih boleh menggunakan aplikasi TraceTogether pada alat mereka dan token mereka, dan mengimbas kad pengenalan mereka untuk daftar masuk pada masa ini.

Mereka yang menggunakan telefon bimbit lama juga boleh mengimbas kod SafeEntry menggunakan aplikasi telefon bimbit Singpass atau kamera telefon.

Pengendali tempat yang dikenal pasti pemerintah supaya menggunakan Kotak Pintu Masuk SafeEntry boleh mendapatkan hingga empat kotak secara percuma.

Jika mereka memerlukan lebih banyak, mereka boleh memohon kepada Agensi Teknologi Pemerintah, yang membangunkan sistem pintu masuk itu.

Selain itu, pengendali boleh memuat turun Aplikasi SafeEntry (Perniagaan) percuma daripada Apple App Store atau Google Play store.

Sistem pintu masuk itu juga boleh memaklumkan sekiranya kuasa bateri token TraceTogether rendah. Pengguna akan mendapati mereka tidak boleh daftar masuk apabila menyentuh token mereka pada kotak itu.

Token itu akan memaparkan lampu hijau yang berkelip sekitar sekali setiap minit jika hayat bateri itu mencukupi, yang dijangka bertahan antara empat dengan enam bulan. Jika lampunya merah dan berkelip, atau apabila tiada lampu, token itu perlu digantikan dengan yang baru.

Mulai bulan depan, stesen pengganti token akan ditubuhkan di beberapa tempat di mana Pintu Masuk SafeEntry dilancarkan.

Pengguna boleh menggantikan token mereka secara percuma di sebarang kelab masyarakat jika baterinya habis atau alat itu rosak.

Token hilang akan digantikan tanpa bayaran untuk kali pertama, namun untuk kali kedua dan berikutnya, bayaran akan dikenakan bagi kos token itu, kata SNDGO.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg