Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Dagangan haram hidupan liar naik seganda di Telegram: Acres

Dec 31, 2023 | 8:27 PM
TREND MENINGKAT: Pasaran haram hidupan liar di Singapura berkembang pesat di Telegram sejak tiga tahun lalu. Kura-kura bintang India adalah antara hidupan liar yang mempunyai permintaan tinggi.
TREND MENINGKAT: Pasaran haram hidupan liar di Singapura berkembang pesat di Telegram sejak tiga tahun lalu. Kura-kura bintang India adalah antara hidupan liar yang mempunyai permintaan tinggi. - Foto ST

Pasaran haram hidupan liar di Singapura berkembang pesat di Telegram sejak tiga tahun lalu.

Ini walaupun tindakan penguatkuasaan diambil terhadap penjual dalam pasaran haram itu, menurut Persatuan Berkaitan Penyelidikan dan Pendidikan Haiwan (Acres) yang ditukil The Straits Times (ST).

Acres mendapati bilangan haiwan liar terlarang yang cuba dijual di wadah mesej Telegram naik hampir seganda daripada 333 pada 2021 kepada 660 pada 2023, menurut laporan badan amal itu yang dikeluarkan pada Disember.

Bilangan penjual yang menawarkan hidupan liar terlarang juga naik daripada 66 pada 2021 kepada 387 pada 2023.

Kura-kura bintang India, kura-kura harimau bintang dan kala jengking adalah antara hidupan liar yang mencatat kenaikan tertinggi dalam permintaan, berdasarkan beberapa kumpulan Telegram yang dikesan.

Contohnya, iklan bagi haiwan paling popular, kura-kura bintang India, meningkat daripada hanya empat pada 2021 kepada 21 pada 2023.

Ini berlaku walaupun mereka yang menjual spesies kura-kura itu di Singapura boleh dikenakan denda dan hukuman penjara lebih berat sejak 2022.

Walaupun penjualan spesies kura-kura itu diharamkan di seluruh dunia, ia terus dicari sebagai haiwan peliharaan.

Hidupan liar terlarang biasanya dijual pada harga antara $10 dengan sekitar $3,000 di Telegram.

Dalam menyiapkan laporan itu, Ketua Eksekutif Bersama Acres, Cik Anbarasi Boopal berkata badan amal itu membandingkan mesej yang dikirim selama 61 hari dalam tiga kumpulan terbesar yang memasarkan hidupan liar secara haram pada 2021 berbanding tiga kumpulan terbesar pada 2023.

Badan amal itu memilih untuk menyiasat Telegram, kerana laporan daripada orang ramai dan pengawasan Acres menunjukkan wadah media sosial itu kini menjadi hab bagi perdagangan haram haiwan.

Pengarah di NParks, Dr Anna Wong, berkata siasatan terhadap kes melibatkan penjualan haiwan dalam talian seringkali rumit.

Cabaran biasa yang dihadapi pihak berkuasa termasuk kekurangan bukti, penjual beroperasi tanpa nama, dan pembeli keberatan untuk tampil sebagai saksi, jelasnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg