Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18

Daging kultur boleh jadi sumber makanan penting pada masa depan

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Daging kultur boleh jadi sumber makanan penting pada masa depan

Feb 10, 2024 | 05:30 AM



Daging kultur, jika dihasilkan mengikut prinsip halal dan diperoleh daripada sumber halal, boleh menjadi sumber makanan penting untuk masyarakat Islam Singapura pada masa hadapan.

Ini termasuk situasi yang mengakibatkan berlakunya kekurangan makanan akibat tanah yang terhad untuk menternak haiwan, atau perubahan iklim seperti kemarau dan banjir yang menjejas kesuburan tanah untuk pertanian.

Berdasarkan prinsip ini, Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) mengeluarkan fatwa semasa Persidangan Fatwa dalam Masyarakat Kontemporari 2024 untuk membenarkan makanan alternatif, seperti daging kultur, sebagai sumber makanan umat Islam.

Menurut Ustaz Mohd Kamal Mokhtar, anggota bersekutu kanan Jawatankuasa Fatwa Muis, penghasilan daging kultur bukan sahaja akan mengurangkan kebergantungan Singapura pada pengimportan makanan, sekali gus menjamin keselamatan makanan negara.

Ustaz Kamal bertugas sebagai penasihat dan konsultan kewangan Islam dan memiliki Ijazah Sarjana Muda Sains dalam Zoologi dan Botani dari Universiti Nasional Singapura (NUS).

Malah, menurut beliau, ia sejajar dengan Pelan Hijau Singapura, serta Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai usaha mengurangkan pelepasan gas rumah hijau di sini.

FATWA TENTANG DAGING KULTUR

Jawatankuasa Fatwa Muis baru-baru ini mengeluarkan fatwa yang menyatakan daging kultur secara amnya halal atau dibenarkan dimakan oleh orang Islam sekiranya ia memenuhi tiga syarat.

Menurut fatwa yang dikeluarkan pada 3 Februari itu, tiga syarat tersebut ialah sel tunjang digunakan mesti berasal daripada haiwan halal; setiap bahan digunakan untuk membentuk tekstur dan komposisi daging kultur mesti halal; dan produk mesti tidak toksik dan bersih.

Namun, Ustaz Kamal berkongsi bahawa keputusan mengeluarkan fatwa itu juga mengambil kira konteks Singapura sebagai negara kecil yang mempunyai tanah terhad dan sebuah masyarakat Islam yang banyak memakan daging, terutama sekali pada musim perayaan seperti Hari Raya, ibadat korban dan akikah.

“Dengan fatwa ini, kita sebagai masyarakat Islam, mempunyai pilihan lain untuk makanan. Sama ada kita nak makan daging kultur ataupun tidak, itu bergantung pada diri masing-masing, termasuk pertimbangan seperti diet dan kos,” jelas Ustaz Kamal.

Tambahnya, Jawatankuasa Fatwa juga mengkaji topik daging kultur secara mendalam sebelum mengeluarkan fatwa tersebut.

Ini termasuk merujuk kepada undang-undang Islam dan mendapat pandangan daripada anggota masyarakat seperti ulama dan asatizah.

“Apabila kita mengeluarkan fatwa, kita bukan sahaja melihat pada undang-undang, bahkan kita juga melihat kepada masyarakat kita. Biasanya ulama akan merujuk kepada teks dan konteks. Dari sudut teks, kita melihat pada Al-Quran, kita melihat pada hadis, kita melihat pada ijma, kita melihat pada qias, dan kita melihat pada dalil lain.

“Dan kemudian kita juga melihat pada maqasid atau objektif syariah yang termasuk pemeliharaan agama, nyawa, akal, keturunan dan harta kita,” terang Ustaz Kamal.

PERBEZAAN DAGING KULTUR DENGAN DAGING LAIN

Walaupun daging kultur dan daging konvensional serupa dari segi asal dan komposisi, proses pengeluaran kedua-dua jenis daging tersebut jauh berbeza, kata Ustaz Kamal.

Beliau menjelaskan bahawa daging konvensional berasal daripada haiwan hidup yang diternak di ladang, manakala daging kultur dihasilkan dengan mengambil sel tunjang daripada haiwan dan menggandakan jumlah sel itu dalam makmal.

“Daging kultur ialah daging asli seperti daging yang disembelih daripada haiwan ternakan di ladang. Perbezaannya ialah daging kultur dihasilkan dalam makmal, manakala daging konvensional didapatkan daripada haiwan hidup.

“Jika anda membandingkan daging kultur dan daging konvensional bersebelahan, anda tidak boleh membezakan yang mana daging kultur dan yang mana daging konvensional kerana ia kelihatan serupa.

“Apabila anda menyentuh daging kultur, anda dapat merasakan teksturnya dan minyaknya seolah-olah ia adalah daging konvensional,” ujar Ustaz Kamal.

Menyentuh tentang daging berasaskan tumbuhan pula, Ustaz Kamal berkata ia merujuk kepada daging yang diperbuat daripada soya, tofu, atau bahan bukan daging yang lain, dan sering dimakan oleh ​​golongan vegetarian – yang hanya makan sayur-sayuran.


Beliau berkata: “Oleh kerana daging kultur berasaskan haiwan, vegetarian tidak boleh makan daging kultur kerana ia bukan daging berasaskan tumbuhan.”


PERBEZAAN DAGING KULTUR DENGAN PROTEIN BERASASKAN TUMBUHAN

Ketua Pegawai Eksekutif Life3 Biotech, Encik Ricky Lin, berkata perbezaan utama antara kedua-dua jenis makanan ialah daging kultur dihasilkan menggunakan sel haiwan, manakala protein berasaskan tumbuhan dihasilkan menggunakan sayur-sayuran seperti kacang soya dan mikroalga.

Encik Lin, yang menerajui syarikat pemula teknologi makanan Singapura itu, menambah bahawa protein berasaskan tumbuhan biasanya mempunyai banyak perasa tiruan, pengawet atau pewarna.

“Daging kultur dihasilkan dalam makmal manakala protein berasaskan tumbuhan dihasilkan dalam kilang makanan, sama seperti roti dan biskut.

“Protein berasaskan tumbuhan dihasilkan dalam mesin pemprosesan makanan untuk menghasilkan tekstur berserat, bukan untuk meniru tekstur daging tetapi untuk memberikan lebih sedikit tekstur, jika tidak ia hanya lembut seperti doh,” jelas Encik Lin.

Pada masa ini, protein berasaskan tumbuhan lebih sihat daripada daging kultur kerana ia tidak perlu ada lemak tepu, berbanding daging kultur yang perlu lemak tepu untuk mempunyai rasa daging. Namun, Encik Lin menambah bahawa kedua-duanya setanding dari segi tahap protein.

Menjawab pertanyaan sama ada daging alternatif akan menjadi biasa pada masa hadapan, Encik Lin meluahkan harapan bahawa masyarakat sejagat akan mempunyai diet seimbang yang terdiri daripada daging konvensional, daging kultur dan protein berasaskan tumbuhan.

“Semuanya perlu secara sederhana. Apabila semua orang kurang bergantung pada daging haiwan, lebih banyak sumber akan tersedia di seluruh dunia.


“Akan terdapat kurang permintaan bagi tanah untuk ternakan, dan tenaga manusia untuk menghasilkan ternakan akan turun. Ini akan membantu mengurangkan pelepasan gas rumah hijau,” ujarnya.


Encik Lin juga menyentuh bagaimana ternakan haiwan juga memberi kesan kepada iklim.


Ini termasuk lembu yang mengeluarkan metana; dan najis ayam mengeluarkan ammonia yang mencemarkan sistem perairan.


ADAKAH DAGING KULTUR BABI HALAL?

Salah satu syarat penting digariskan Jawatankuasa Fatwa Muis untuk menyifatkan daging kultur sebagai halal ialah sel tunjang mesti berasal daripada haiwan halal.

Sel tunjang yang diambil daripada haiwan tidak halal seperti babi akan menghasilkan daging kultur babi yang haram, jelas Ustaz Kamal.

“Sumber haiwan akan menentukan sama ada daging kultur dihasilkan itu adalah halal atau tidak. Sekiranya kita memasukkan sel tunjang babi atau haiwan lain yang haram, hasil daging kultur di dalam bioreaktor makmal juga haram, itulah prinsip asasnya,” ujarnya.

Ustaz Kamal juga menyentuh tentang bakal pencemaran antara makmal berlainan yang akan menjejas sama ada daging kultur yang dihasilkan adalah halal atau tidak.

“Sebagai contoh, jika satu makmal menghasilkan daging kultur kambing dan satu lagi makmal menghasilkan daging kultur babi, kakitangan atau pihak berkuasa harus memastikan tiada pencampuran sel tunjang antara kedua-dua makmal bagi mencegah pencemaran.

“Jika berlaku pencemaran, daging kultur kambing itu tidak boleh disifatkan halal kerana sel tunjang kambing dan babi sudah bercampur,” kata Ustaz Kamal.

Justeru, adalah penting untuk mengekalkan amalan industri yang ketat dan memastikan persekitaran makmal yang sangat bersih.


Tambahan, pemerintah dan syarikat menghasilkan daging kultur perlu memberi jaminan tentang keselamatan isu ini kerana satu kesilapan kecil akan menjejas keyakinan masyarakat, ujarnya.


BAGAIMANA DAGING KULTUR DIHASILKAN?

Pertama sekali, sel tunjang diperoleh secara langsung daripada haiwan. Seterusnya, sel itu ditanam dalam bioreaktor di makmal pada suhu terkawal dan dibekalkan dengan nutrien.

Di peringkat ini, menurut Ustaz Kamal, jumlah sel boleh digandakan daripada satu hingga ke bertrilion. Sel-sel itu akan membesar dan kemudian akan menjadi daging kultur.

Mengulas tentang teknologi digunakan untuk menghasilkan daging kultur, Ustaz Kamal berkata: “Teknologi ini bukan baru. Penghasilan daging kultur berkaitan dengan penyelidikan sel tunjang telah lama wujud, bukan sekitar dua atau tiga tahun lepas, sebaliknya kira-kira 30 atau 40 tahun dahulu.

“Ia telah digunakan untuk menghasilkan bahagian tubuh, dan teknologi ini begitu maju di Singapura sehingga kita mampu menghasilkan hati dan bahagian tubuh lain, jadi ia bukan teknologi baru, malah ini adalah satu lagi langkah untuk teknologi sel tunjang.”

Ustaz Kamal menambah bahawa pelbagai kajian telah dilakukan berhubung bahaya dan kesan sampingan memakan daging kultur, dan berkongsi terdapat tiada bahaya untuk orang memakannya.

“Tetapi dalam masa 20-30 tahun, jika terdapat kajian yang membuktikan bahawa memakan daging kultur memberi kesan buruk kepada manusia, kita akan menyemak fatwa,” tambahnya. – Laporan tambahan NUR DHUHA ESOOF




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >