Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Daing Farhan aktif berjasa di Masjid Sultan, pelbagai pertubuhan masyarakat

Jan 22, 2022 | 5:30 AM
GIAT TABUR BAKTI: Selain pernah berkhidmat sebagai pengerusi Lembaga Pengamanah Masjid Sultan, Allahyarham Daing Farhan pernah bertugas sebagai jurubahasa di mahkamah dan Parlimen, dan pembaca berita secara sambilan. Beliau juga giat sebagai sukarelawan Darul Ihsan dan MTFA. - Foto-foto ihsan KELUARGA DAING FARHAN
GIAT TABUR BAKTI: Selain pernah berkhidmat sebagai pengerusi Lembaga Pengamanah Masjid Sultan, Allahyarham Daing Farhan pernah bertugas sebagai jurubahasa di mahkamah dan Parlimen, dan pembaca berita secara sambilan. Beliau juga giat sebagai sukarelawan Darul Ihsan dan MTFA. - Foto-foto ihsan KELUARGA DAING FARHAN -

SELAMA hampir separuh hayatnya, Encik Daing Mohamed Farhan Hashim telah menabur bakti di Masjid Sultan.

Beliau berkhidmat sebagai anggota lembaga pengamanah masjid bersejarah itu selama 35 tahun, dari 1986 hinggalah ke akhir hayatnya.

Sabtu lalu, Encik Daing Farhan, 73 tahun, diberi penghormatan terakhir di masjid itu apabila jenazahnya disolatkan di sana.

Allahyarham meninggal dunia setelah mengalami radang paru-paru, kata balunya, Cik Omayah Hassan, kepada Berita Harian (BH).

Cik Omayah, 70 tahun, mengenang Allahyarham Haji Daing sebagai seorang yang ceria dan aktif.

"Saya harap peribadi Almarhum yang baik, suka berkhidmat kepada masjid dan masyarakat, jaga silaturrahim, boleh jadi contoh baik dan akan diingati," kata Cik Omayah.

Allahyarham meninggalkan enam anak lelaki dan 11 cucu.

Selain bekerja di Mahkamah Agung sebagai Ketua Jurubahasa, Allaharyarham pernah bekerja sambilan sebagai pembaca berita televisyen dan radio, serta deejay di Perbadanan Penyiaran Singapura (SBC) pada 1970-an.

Beliau juga bekerja sambilan sebagai jurubahasa di Parlimen, semasa bertugas di Mahkamah Agung.

Dalam kerja masyarakatnya pula, beliau aktif membantu Kelab Masyarakat Kampong Glam, Darul Ihsan dan Persatuan Derma Amanah Muslimin (MTFA), serta sebagai pengerusi Jawatankuasa Penasihat Sekolah, Sekolah Rendah Jagoh di Telok Blangah.

Di Masjid Sultan, beliau juga pernah berkhidmat sebagai pengerusi lembaga pengamanah masjid itu selama 10 tahun.

Pengerusi lembaga pemegang amanah Masjid Sultan sekarang, Encik Mohamed Salleh Patail, berkata Allahyarham bertanggungjawab bagi pembinaan bangunan tambahan masjid itu yang siap pada 1993.

"Beliau seorang yang tidak mementingkan diri dan berdedikasi sebagai Pengerusi Lembaga Pengamanah Masjid Sultan waktu itu," ujar Encik Mohamed Salleh Patail kepada BH.

Masjid tersebut telah mengadakan bacaan tahlil dan yasin untuk Allahyarham pada Sabtu lalu.

Di MTFA pula, Allahyarham telah menjadi anggota Dewan Pengurusan MTFA serta Ketua Jawatankuasa Pengebumian, yang menyelaras khidmat pengebumian percuma bagi orang Islam yang kurang berkemampuan di Singapura.

Persatuan itu pula telah menganjurkan bacaan tahlil di kededua rumah anak yatim Darul Ihsan pada Khamis.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg