Subuh
5:34
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:21

Daki Khemah Induk Everest: Ayah alami gejala altitud tinggi, anak ‘tidur dengkur’

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Daki Khemah Induk Everest: Ayah alami gejala altitud tinggi, anak ‘tidur dengkur’

May 06, 2024 | 07:42 PM



Daripada suhu bawah sifar yang menjunam hingga -15 darjah Celsius kepada angin dingin tipis yang “membelah” tekak pada ketinggian lebih 5,000 meter atas paras laut.

Itulah antara cabaran yang perlu diatasi sepasang ayah dah anak dari Singapura yang pada 29 April mencatat rekod sebagai warga termuda Singapura berjaya mendaki ke Khemah Induk Everest (EBC) di Nepal di ketinggian 5,360 meter.

Sementara Encik Zikri Ali, 41 tahun, ditimpa gejala penyakit altitud tinggi pada hari ketujuh trek sepanjang lapan hari itu, anaknya, Abyan Imtiaz Irkiz, lima tahun, “baik-baik sahaja”.

“Abyan tidur nyenyak sampai berdengkur di atas,” kata bapa tiga anak itu apabila ditemui Berita Harian selepas mendarat di Lapangan Terbang Changi sekitar 6.20 pagi pada 6 Mei.







Mereka sampai di EBC pada hari kelapan dari bandar Lukla – dua hari lebih awal dari dijangka.

Pendakian ulang-alik ke EBC – pangkalan pendakian ke Gunung Everest, puncak tertinggi di dunia – selalunya mengambil masa antara 10 hingga 14 hari, meliputi jarak sekitar 65 kilometer sehala.

Mereka memutuskan pulang ke Lukla dari khemah itu dengan menaiki helikopter sebagai “hadiah” pencapaian mereka, kata Encik Zikri, yang menjalankan sebuah studio yoga bersama isterinya.

Mereka disambut di Lapangan Terbang Changi oleh isteri Encik Zikri, Cik War War Lwin Tun, dan dua lagi anaknya serta lebih 10 ahli keluarga dan teman rapat, lengkap dengan sepanduk dan kemeja hitam sedondon yang tertera kekata ‘Fearless Abyan, gignantic ambitions’ (Abyan berani, bercita-cita besar).







“Alhamdulillah mereka selamat dan saya bangga atas pencapaian mereka. Sepanjang dua minggu, fikiran saya ditumpukan pada keselamatan dan kesihatan mereka,” kata Cik War War, 41 tahun, ibu tiga anak yang berketurunan generasi kedua migran Muslim dari Myanmar.

“Sebab pertama, jaringan telefon agak teruk dan sukar untuk kami berhubung. Kedua meskipun saya yakin si ayah berupaya menahan persekitaran mencabar di sana, saya tak tahu sama ada Abyan berupaya berbuat demikian sebab dia masih kecil.


“Ketiga, saya khuatir sebab kami hanya dapat berlatih di Singapura dari segi fizikal sahaja. Tetapi dari segi membiasakan diri kepada altitud, kami tidak mempunyai pengalaman mendaki di persekitaran altitud tinggi.”







Encik Zikri – yang berlatih selama enam bulan bersama Abyan – berkata secara keseluruhan pendakian mereka lancar dan baik-baik sahaja.

Pembantu pendakian mereka, seorang Sherpa, menyarankan mereka menyelesaikan pendakian itu dalam lapan hari agar tidak perlu berada lama di kawasan tinggi bagi mengelakkan gejala berkaitan penyakit altitud tinggi.

Namun pada hari ketujuh, apabila mereka mencapai 4,900 meter, Encik Zikri mengalami pening kepala dan tidak berupaya tidur kerana udara semakin tipis.







“Suhu di ketinggian itu menjunam hingga -15 darjah Celsius dengan angin tipis dan tajam seolah-olah membelah tekak dan membuat saya asyik-asyik batuk,” ujarnya, yang kini mengalami ‘batuk Khumbu” – sejenis gejala berkaitan penyakit altitud tinggi.

“Tapi Abyan baik-baik sahaja hingga tidur lena di situ. Dia cuma kata ada sedikit sesak nafas, namun apabila saya periksa paras oksigen, ia menandakan dia baik-baik sahaja.”

Abyan, ketika ditanya wartawan pengalamannya berkata dengan ringkas: “Tak ada masalah pun. Saya rasa letih sahaja.”


Sepanjang perjalanan, Encik Zikri bersilih ganti dengan Sherpa itu memimpin Abyan, khususnya di kawasan berbahaya, seperti laluan sempit dan dikelilingi gaung tinggi.

Selepas tiba di khemah induk itu, Encik Zikri berkata beliau memutuskan untuk “berbelanja lebih” dan menghadiahkan dirinya serta anaknya itu dengan penerbangan pulang ke Lukla menerusi helikopter.


“Betul mereka cakap, naik ke khemah boleh ambil 10 hari tapi turun 15 minit sahaja dengan helikopter,” katanya.


Encik Zikri berkata beliau bangga atas pencapaian anaknya itu, sementara Cik War War berkata, jikalau suaminya merancang mendaki lagi, beliau mahu mengikut bersama dengan dua anaknya lain berusia 10 dan tiga tahun sekarang.







Ketika ditanya apa rancangan keluarga itu seterusnya, Encik Zikri berkata Abyan kini “disampuk” pengaruh Sherpa mereka, yang menyarankan mereka cuba mendaki Litar Annapurna, trek lebih 160 kilometer juga di Nepal.

“Abyan cakap dia mahu cuba litar itu, jadi kita lihat apakah dia betul-betul berminat untuk melakukannya dan apakah anak saya yang lain mahu ikut sekali,” ujar Encik Zikri.

“Tapi buat sementara ini saya mahu berehat dan makan burger,” ujar Encik Zikri lagi kelihatan letih.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >