PIHAK polis sedang menyiasat seorang wanita berusia 34 tahun kerana disyaki memberikan maklumat palsu kepada penjawat awam pada 16 Mac.
Kenyataan polis pada Isnin menjelaskan bahawa mereka menerima panggilan sekitar jam 10.25 malam daripada wanita itu yang mendakwa wang tunai beliau sebanyak $6,700 telah dirompak oleh dua lelaki tidak dikenali.
Insiden itu dikatakan berlaku di kawasan Blok 504 Yishun Street 51, menurut polis.
Beliau disyaki memaklumkan pihak polis bahawa lelaki itu bersenjatakan pisau.
Melalui siasatan dan dengan bantuan imej dari kamera polis, pegawai polis dari Divisyen Polis Woodlands mendapati wanita itu telah memberikan maklumat palsu.
Mereka yang disabitkan kesalahan memberi sebarang maklumat yang jelas adalah palsu kepada penjawat awam boleh dipenjara sehingga dua tahun, denda, atau kedua-duanya.
Polis mengingatkan orang ramai bahawa sumber polis boleh digunakan dengan lebih baik dalam menangani jenayah dan kecemasan sebenar daripada menyiasat laporan palsu atau maklumat palsu.
"Mereka yang membuat laporan polis palsu atau memberikan maklumat palsu akan menanggung akibat yang serius di bawah undang-undang," tambah pihak polis.
Awal dari itu, pada November 2022, seorang lelaki berusia 58 tahun dikenakan denda $2,500 kerana memberi maklumat palsu kepada pihak polis mengenai penglibatan anak saudaranya dalam pergaduhan maut di Jurong West pada 2019.
Lelaki itu, Tan Hung Theng, memaklumkan polis bahawa dia menyaksikan pergaduhan tersebut tetapi menyatakan saudara lelakinya, Tan Beng Gim, tidak tumbuk, tendang atau menyentuh mangsa.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg