Keluarga insan autisme perlu memikul tanggungjawab berat dan melalui cabaran besar. Persoalan masa depan juga kerap bermain dalam fikiran. Sempena Hari Kesedaran Autisme Sedunia esok, wartawan NUR FATHIN AWALLUDIN (nfathin@sph.com.sg) mendengar pengalaman adik-beradik yang membesar dengan insan berkeperluan khas itu.

MEMILIKI ahli keluarga yang menghadapi autisme bukan sesuatu yang mudah. Ketidakpastian seolah-olah menjadi sebahagian hidup keluarga tersebut.

Antara yang melalui keadaan itu ialah keluarga Cik Nur Aida Sa'ad, 27 tahun.

Beliau anak sulung dalam keluarga empat beradik dan mempunyai dua adik perempuan berkeperluan khas.

Cik Aida berkata:

"Aisha tegar (rigid) orangnya. Dia nak saya tidur tepat pada satu-satu waktu, tapi kadangkala saya harus kerja hingga lewat malam dan ketika itu kami boleh rasa geram."

Namun, beliau tidak pernah menyalahkan adiknya itu kerana faham ketegaran perkara normal bagi mereka yang mempunyai autisme.

"Disebabkan saya tak boleh menyalahkannya, ini membuat saya lebih bertanggungjawab terhadap perbuatan saya sendiri.

"Saya tak boleh salahkan dia, jadi saya salahkan pengurusan masa saya sendiri," ujarnya.

Meskipun akur itu bukanlah perkara mudah, beliau sedar harus sentiasa meletakkan keperluan Aisha sebelum dirinya.

Memahami kehendak dan keperluan Aisha juga perjalanan pembelajaran berterusan buat mereka.

Seperti orang lain, mereka yang mempunyai autisme juga melalui perubahan dalam kehidupan.

Sekarang waktu yang cukup mencabar kerana Aisha melalui usia remaja.

"Aisha suka memberontak. Kadangkala dia jadi ganas, terpekik, malah boleh mencederakan diri sendiri.

"Dia pernah gigit tangan sendiri, pukul pembantu atau ibu saya, pecahkan cermin, ketuk pintu dengan kuat dan sebagainya," katanya, yang bekerja sebagai pereka bebas.

Kejadian sedemikian perkara biasa bukan sahaja bagi Aisha, malah belia atau kanak-kanak lain sepertinya.

Walaupun mereka melakukan perkara yang tidak dianggap 'normal' dan seringkali tidak pandai meluahkan keinginan seperti orang lain, kanak-kanak autisme memiliki kekuatan dan minat tersendiri.

Bagi Aisha, kekuatan dan minatnya terletak pada seni.

Malah, ketika ditemui di rumahnya baru-baru ini, dia sibuk menjahit menggunakan manik.

Melalui seni jugalah Cik Aida berupaya menjalin ikatan lebih erat bersama adiknya.

Misalnya, beliau membawa Aisha ke studionya untuk melukis bersama. Bahkan, seminggu sekali, mereka akan pergi ke bengkel membuat karya tembikar.

Seni bukan sahaja memberi Aisha saluran meluahkan rasa dan mengasah daya kreatif, malah menenangkan jiwanya.

Namun, di balik senyuman dan kebahagiaan yang terpancar, Cik Aida akui sering risau ketika memikirkan masa depan adiknya.

Menurutnya, persoalan sedemikian sering bermain di fikiran dan banyak ketidakpastian lain perlu dihadapi.

Namun, yang pasti, beliau akan terus menjaga memperkasa Aisha sebagai individu biasa, dan tidak melihatnya sebagai kurang berkemampuan.

"Saya selalu terfikir apa yang akan berlaku kepada Aisha apabila ibu bapa sudah tiada satu hari nanti, apatah lagi Aisha sangat rapat dengan ibu.

"Sudah tentu saya juga memikirkan apa yang bakal terjadi apabila kami mahu mendirikan rumah tangga nanti dan mempunyai keluarga sendiri," katanya.