Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Dana $50j bantu kaji barah limfoma, kolorektal di S’pura

May 24, 2024 | 3:35 PM
barah
Pasukan penyelidikan Symphony 2.0 yang antara lain terdiri daripada (dari kiri) Penolong Profesor Jason Chan, Profesor Madya Ong Choon Kiat, Dr Woo Xing Yi, Profesor Lim Soon Thye, Penolong Profesor Anand Jeyasekharan, Profesor Madya Ng Siok Bian dan Penolong Profesor Valerie Yang. - Foto ZAOBAO

Menubuhkan semacam atlas yang memusatkan data pesakit barah, menentukan gabungan ubat yang berkesan untuk pesakit dan membangunkan kaedah pengesanan awal baru untuk memeriksa barah.

Semua itu adalah antara beberapa projek utama yang akan mendapat manfaat daripada pembiayaan $50 juta daripada Kementerian Kesihatan (MOH) sedang Singapura meningkatkan usaha menangani barah.

Geran tersebut akan membantu program penyelidikan digelar Symphony 2.0 dan Colo-Script yang bertujuan meningkatkan pemahaman, diagnosis dan rawatan barah limfoma dan kolorektal.

Dua pasukan pakar klinik-saintis dan penyelidik Singapura berbilang institusi dan pelbagai disiplin telah dianugerahkan geran $25 juta setiap satu untuk menjalankan program penyelidikan tersebut.

Di Singapura, barah kolorektal yang menjejas usus besar merupakan barah yang paling biasa menyerang kedua-dua kaum Adam dan Hawa.

Terdapat sekitar 12,239 kes baru barah kolorektal yang didiagnosis antara 2017 dengan 2021, iaitu sekitar 210 kes baru setiap bulan, dengan sekitar 80 kematian setiap bulan.

Barah limfoma pula menjejas sistem daya tahan badan melawan kuman dan penyakit.

Ia merupakan barah darah paling lumrah menyerang remaja dan dewasa muda – mereka yang berusia antara 16 dengan 45 tahun – dan merupakan barah kelima paling biasa di Singapura.

Menurut Ketua Penyiasat penyelidikan Symphony 2.0, Profesor Lim Soon Thye, yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Barah Nasional Singapura (NCCS) dan Perunding Kanan di Bahagian Onkologi Perubatan di NCCS, sejenis limfoma yang lazim berlaku ke atas pesakit Asia ialah bentuk barah darah agresif yang dipanggil Natural Killer/T-cell limfoma (NKTCL).

Kadar kelangsungan hidup bagi mereka yang mempunyai NKTCL adalah rendah dan barah jenis ini masih kurang dikaji, kurang difahami dan mempunyai pilihan rawatan yang terhad.

Walaupun dengan kemoterapi gabungan, hanya 20 hingga 30 peratus pesakit mampu hidup melebihi lima tahun dan kemoterapi didapati tidak berkesan bagi 30 peratus pesakit.

Oleh itu, Symphony 2.0 mahu menangani keperluan yang belum dipenuhi dalam limfoma lazim bagi pesakit Asia dan meningkatkan hasil positif bagi pesakit.

Program penyelidikan itu akan memberi tumpuan kepada lima bidang tematik, dengan matlamat untuk menyampaikan tiga projek utama.

Ia termasuk mewujudkan Atlas Limfoma yang memusatkan data pesakit untuk penyelidikan; menentukan gabungan ubat yang berkesan bagi pesakit limfoma dalam ujian klinikal menggunakan kecerdasan buatan (AI); dan meningkatkan kebolehcapaian kepada terapi Sel CAR-T.

Buat masa ini, kos yang tinggi dan kesan sampingan terapi sel CAR-T menimbulkan cabaran besar kepada penggunaan terapi yang meluas dalam kalangan pesakit.

Dalam pada itu, buat kali pertama di Singapura, program penyelidikan barah kolorektal di peringkat nasional akan dijalankan melalui Colo-Script.

Program itu berusaha memanfaatkan ilmu tentang biologi tersendiri subjenis molekul berbeza dalam barah kolorektal untuk mendorong pencegahan khusus, diagnosis dan rawatan penyakit itu.

Penyelidikan yang dijalankan bertujuan menangani dua isu utama – mencegah dan mengesan barah kolorektal lebih awal; dan membangunkan terapi bagi pesakit dengan barah kolorektal peringkat lanjut.

Bagi yang pertama, seramai 20,000 individu sihat akan direkrut.

Pasukan penyelidikan akan membangunkan kaedah diagnostik khusus-subjenis baru dan menyiasat pengaruh faktor risiko genetik, persekitaran, metabolik dan mikrob pada subjenis polip (jenis luka prabarah yang boleh menyebabkan barah kolorektal) dan barah kolorektal.

Pasukan tersebut juga akan membangunkan ujian darah dan najis bukan invasif baru serta kaedah endoskopi yang didayakan AI baru untuk melengkapkan atau menambah baik kaedah pemeriksaan semasa untuk pengesanan barah kolorektal yang lebih baik.

Buat masa ini, terdapat dua cara mengesan barah kolorektal – ujian najis dan melalui kolonoskopi.

Namun, meskipun melakukan pemeriksaan boleh membantu mencegah seseorang daripada menghidap barah kolorektal, bilangan mereka yang berbuat demikian di Singapura masih sangat rendah, ujar pengasas pembedahan kolorektal di Singapura, Profesor Goh Hak Su.

Beliau berkongsi bahawa antara sebab orang ramai masih enggan melakukan pemeriksaan termasuk rasa takut untuk melakukan skop, kurang pengetahuan tentang kepentingan pemeriksaan, kos yang tinggi serta kebolehterimaan terhadap kaedah, lebih-lebih lagi kerana ada yang rasa jijik perlu memberi sampel najis mereka untuk diuji.

Seramai 1,000 pesakit barah kolorektal juga akan direkrut sebagai sebahagian Colo-Script untuk membina repositori biospesimen dan membangunkan model tumor khusus pesakit.

Penemuan penyelidikan itu dijangka memperkasakan ujian terapeutik berskala besar yang bertujuan untuk mencapai rawatan lebih tepat bagi barah kolorektal.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg