Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Dapat 10 sen balik bila pulangkan bekas minuman

Mar 23, 2023 | 5:30 AM
Ustaz Fathurrahman M Dawoed
Ustaz Fathurrahman M Dawoed - AMP

SATU Skim Pemulangan Bekas Minuman (BCRS) yang baru bakal dilaksanakan pada suku kedua 2025.

Di bawah skim itu, deposit sebanyak 10 sen - yang tidak tertakluk kepada cukai barangan dan perkhidmatan (GST) - akan dikenakan ke atas harga setiap bekas minuman botol plastik atau tin logam antara 150 mililiter dan tiga liter.

Menurut satu kenyataan media Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA), deposit ini akan dikembalikan sepenuhnya apabila bekas minuman kosong dipulangkan di tempat pemulangan yang ditetapkan.

Skim BCRS adalah salah satu daripada tiga langkah - selainnya adalah pengenaan caj beg pakai buang dan rangka kerja pelaporan sisa makanan - yang digariskan dalam Rang Undang-undang Kelestarian Sumber (Pindaan).

Rang pindaan tersebut, yang diluluskan Parlimen Rabu, menggariskan rangka kerja perundangan yang bertujuan mengurangkan sisa bungkusan dan makanan serta memacu perubahan terhadap tingkah laku Singapura untuk mengurangkan sisa dan meningkatkan kadar kitar semula.

Semasa membentangkan rang tersebut di Parlimen, Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Cik Grace Fu, dan Menteri Negara Kanan (Pengangkutan merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Dr Amy Khor, berkata skim tersebut adalah antara yang pertama dilaksanakan di Asia Tenggara.

"Kadar kitar semula untuk plastik di Singapura amat rendah, iaitu enam peratus.

"Oleh demikian, skim ini akan mengagregat aliran plastik dan logam bersih dan berkualiti tinggi yang boleh dikitar semula."

Sebagai permulaan, pasar-pasar raya dengan keluasan lantai lebih 200 meter persegi perlu menyediakan tempat pengembalian menjelang pelaksanaan BCRS.

Ini kerana pasar raya sedemikian adalah saluran jualan utama bagi bungkusan minuman dan lokasi pengembalian popular.

Ini berdasarkan tinjauan terhadap 1,000 isi rumah yang dijalankan pada awal 2021, yang menyatakan pasar raya adalah antara lokasi pengembalian paling digemari - tambah NEA.

Selain itu, pengimport dan pengeluar bekas air minuman botol plastik dan tin logam, yang menyeliputi 70 peratus daripada bekas minuman yang ada di pasaran, perlu menyertai skim tersebut.

Ini setelah menurut NEA, bahan-bahan tersebut "mempunyai nilai bahan yang tinggi dan senang untuk dikumpulkan, dipadatkan dan dikitar semula".

Semua bekas minuman di bawah skim BCRS juga akan paparkan label tanda deposit dan kod bar khas untuk membantu pengguna "mengenal pasti produk yang sebahagian daripada skim tersebut" lantas layak bagi pulangan wang untuk deposit.

NEA juga berkata satu badan yang dipacu industri dan bukan keuntungan, dikenali sebagai Pengendali Skim, akan mengendalikan operasi skim tersebut.

Sasaran kadar pemulangan sebanyak 80 peratus akan dikenakan kepada Pengendali Skim menjelang tahun ketiga pelaksanaan BCRS.

Perincian seperti mod pemulangan deposit dan tempat-tempat pemulangan bagi skim tersebut akan diumumkan pada waktu akan datang.

Dalam pada itu, mulai 3 Julai 2023, peruncit yang mengendalikan pasar raya dengan lesen Agensi Makanan Singapura (SFA) dan mempunyai hasil lebih dari $100 juta akan dikehendaki untuk mengenakan caj sekurang-kurangnya lima sen bagi setiap beg pakai buang yang diberikan kepada pelanggan di kedai fizikal.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg