Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Dapat anugerah sepanjang tiga tahun pengajian di SP

Upacara penyampaian diploma Politeknik Singapura (SP) bermula semalam dan akan berlangsung hingga 10 Mei. BERITA HARIAN memaparkan tiga lulusan yang meraih keputusan cemerlang dalam kalangan kohort mereka dan dianugerah pingat pengiktirafan pencapaian mereka.
May 6, 2021 | 5:30 AM
GANJARAN KERJA KERAS: Hasil minat dan kerja keras, Encik Syafiq menerima Hadiah SembCorp pada tahun pertama dan kedua pengajian di SP sebagai antara pelajar terbaik dalam kohortnya. Pada tahun ketiga, beliau menjadi pelajar terbaik dan menerima Pingat Emas Sembcorp. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA.
GANJARAN KERJA KERAS: Hasil minat dan kerja keras, Encik Syafiq menerima Hadiah SembCorp pada tahun pertama dan kedua pengajian di SP sebagai antara pelajar terbaik dalam kohortnya. Pada tahun ketiga, beliau menjadi pelajar terbaik dan menerima Pingat Emas Sembcorp. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA. -

KEPUTUSAN Encik Muhammad Syafiq Abdul Rahman tidak sentiasa cemerlang atau memuaskan ketika di sekolah menengah.

Namun, ia membuat beliau sedar dan mula terfikir mengenai masa depannya.

Lantas, beliau bekerja keras untuk peperiksaan Sijil Am Pelajaan (GCE) peringkat 'O' ketika di menengah lima, dan, dengan bimbingan saudaranya, mendapat keputusan cukup baik untuk melanjutkan pelajaran di Politeknik Singapura.

Kini, Encik Syafiq, 21 tahun, antara lulusan cemerlang dalam bidang kejuruteraan marin (DPM) dalam upacara penyampaian diploma SP.

Semangatnya bekerja keras dapat dilihat pada ketiga-tiga tahun pembelajarannya di SP.

Beliau menerima anugerah Hadiah SembCorp pada tahun pertama dan kedua kerana keluar sebagai antara pelajar terbaik dalam kohortnya.

Pada tahun ketiga, beliau menjadi pelajar terbaik kohortnya dan menerima Pingat Emas Sembcorp.

"Saya tidak sangka boleh mendapat keputusan sebegitu sepanjang tiga tahun. Alhamdulillah atas rezeki ini dan saya sangat berterima kasih kepada keluarga saya kerana mereka adalah tiang kekuatan diri saya untuk belajar dengan baik.

"Saya ingin membuat mereka bangga," ujar Encik Syafiq, yang telah ditawarkan tempat di Universiti Teknologi Nanyang (NTU) dalam jurusan kejuruteraan mekanikal dengan bidang kepakaran kejuruteraan senibina dan kejuruteraan laut.

Keluarga Encik Syafiq sungguh bangga akan pencapaiannya itu kerana beliau orang pertama dalam keluarganya yang dapat melanjutkan pelajaran ke universiti.

Ibu Encik Syafiq ingin anak bongsu itu menceburi jurusan kejururawatan, seperti kakaknya. Namun dengan pujukan dan bantuan adik-beradiknya, ibunya meredakannya mengikuti kursus DPM di SP.

Minat Encik Syafiq dalam bidang maritim bermula di bangku sekolah menengah kerana menyertai Pasukan Kadet Polis Kebangsaan (NPCC) (Laut).

"Sya mengikuti bidang kejuruteraan pula sebab saya juga sangat minat subjek fizik dan matematik," ujarnya.

Encik Syafiq juga gemar membantu dan menyumbang semula kepada masyarakat.

Di SP, beliau menyertai kelab mentor di mana beliau membimbing dan mengajar kanak-kanak daripada keluarga memerlukan.

Beliau juga menyertai kelab kebajikan di SP yang kegiatannya termasuk mengunjungi ke pusat kegiatan warga tua untuk menemani mereka setiap Sabtu.

"Saya gemar membantu dan menyumbang semula kepada masyarakat kerana saya rasa gembira, senang dan ia sangat memuaskan kerana dapat menemani mereka dan mendengar kisah-kisah mereka," ujar Encik Syafiq, yang sangat rapat dengan datuknya.

Encik Syafiq harap diberi biasiswa beserta bon di universiti nanti supaya mendapat pekerjaan selepas tamat pengajian. Beliau bercita-cita menjadi juruukur marin.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg