Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Dapat melancong semula 'berita baik' tapi ada tetap berhati-hati

Soal kos, keadaan pandemik global yang belum stabil antara keprihatinan
Jul 3, 2021 | 5:30 AM
ENCIK BADRUZZAMAN: Ejen dari luar negara ada yang sudah hantar tawaran pakej melancong.
ENCIK BADRUZZAMAN: Ejen dari luar negara ada yang sudah hantar tawaran pakej melancong. -

PELANCONGAN ke luar negara sesuatu kegiatan yang sudah sekian lama dinanti-nantikan ramai warga Singapura mahupun agensi pelancongan lebih-lebih lagi sejak sektor pelancongan menjadi 'senyap' gara-gara Covid-19.

Justeru, kenyataan Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, bahawa penduduk Singapura boleh menjangkakan untuk kembali melancong menjelang hujung tahun ini merupakan berita baik yang menyuntik optimisme buat mereka yang dihubungi Berita Harian (BH).

Sedang agensi pelancongan tidak sabar menawarkan pakej kepada pelanggan, mereka juga menjangka kos pelancongan akan meningkat.

Dalam pada itu, warga Singapura yang dihubungi BH melihatnya sebagai langkah positif buat negara tetapi tetap mengamalkan sikap berhati-hati sebelum membuat perancangan lanjut untuk ke luar negara.

Dalam satu wawancara bersama The Straits Times kelmarin, Encik Ong berkata warga Singapura mungkin berpeluang melancong ke negara-negara seperti Amerika Syarikat, Hong Kong dan beberapa tempat di Eropah, yang kadar vaksinasinya kian meningkat.

Menjawab pertanyaan BH, Cik Hanim Hashim, pemilik Sha Travel & Tour Pte Ltd, berkata langkah ini "berita baik" buat peniaga agensi pelancongan sepertinya lebih-lebih lagi memandangkan syarikatnya tidak meraih sebarang pendapatan langsung sejak lebih setahun lalu.

Menurutnya, agensi pelancongannya kebanyakannya menawarkan pakej ke Asia, Timur Tengah dan Eropah.

"Kami sedang berhubung dengan pengendali kami di sana serta syarikat penerbangan supaya dapat menawarkan pakej tetapi kosnya mungkin meningkat berbanding dulu disebabkan banyak sekatan seperti keperluan kuarantin dan sebagainya disebabkan pandemik ini.

"Tetapi saya berharap peningkatkan dalam kos akan tetap dimampui pelanggan," ujarnya.

Berkongsi jangkaan serupa bahawa kos pelancongan akan naik disebabkan beberapa faktor seperti kapasiti penerbangan yang berkurangan, pengurus Pelancongan Hamidah Travel and Tours, Encik Badruzzaman Abdul Majid berkata ejen-ejen dari Turkey, Eropah dan negara lain sudah mula mengemukakan sebutan harga pakej pelancongan.

Meskipun syarikatnya sedang giat membuat persiapan, dia berkata mereka perlu bersiap sedia sekiranya pelancongan dibatalkan akibat ketidaktentuan Covid-19, sambil menukil gelembung perjalanan Hong Kong yang dibatalkan walaupun pengaturan telah ditetapkan.

"Kami akan siapkan pakej, tetapi persoalannya adakah orang ramai ingin melancong? Mereka mungkin ingin melancong sekiranya destinasinya dekat seperti di Malaysia atau Indonesia tetapi bagi perjalanan jauh, pelanggan mungkin ada keprihatinan.

"Bagaimanapun, kami sedang menyiapkan pakej dan akan terus memasarkannya sejurus sahaja mendapat lampu hijau daripada pemerintah," tambahnya.

Warga setempat, Encik Muhammad Asyraf Mustaffa, 27 tahun, yang gemar melancong dan "rindu" memanjat batu tembok semula jadi di luar negara bersama isterinya, berkata mereka mungkin tidak akan membuat sebarang perancangan dahulu sehingga suasana pelancongan lebih stabil.

"Saya rasa keprihatinan utama saya adalah jika keadaan menjadi tidak menentu, serta semua persediaan atau peraturan baru yang kita perlu tahu apabila melancong ke negara berbeza. Tetapi asalkan kita mematuhinya dan kekal selamat, saya tidak sabar untuk melancong lagi," ujar pekerja sosial.

Bagi Cik Khairiyah Anwar, 30 tahun, dia mengambil sikap tunggu dan lihat, dan mungkin akan mengambil masa lagi setahun sebelum melancong lagi.

Penolong akaun itu berkata:

"Saya rasa langkah ini memberikan industri pelancongan peluang baik untuk bangkit semula. Namun, walaupun negara yang dikunjungi mempunyai kadar vaksinasi tinggi dan jangkitan rendah, saya berharap langkah-langkah betul akan tetap diambil oleh mereka yang menerima lebih ramai pengunjung."

HARUNGI NORMA BARU - PANDANGAN PAKAR PERUBATAN SETEMPAT

Sepanjang 18 bulan lalu, banyak perkara seperti kajian, teknologi dan sains serta pengalaman telah dimanfaatkan untuk membolehkan kita bergerak maju sedikit dalam era Covid ini. Banyak inisiatif yang akan dikekalkan sebahagian norma baru. Jika kita terus kekalkan kadar vaksinasi yang tinggi, ujian yang lebih kerap, pemakaian pelitup, dan kesedaran tinggi dalam masyarakat, kita boleh maju sedikit dengan berani.'' - Pakar penyakit berjangkit di Hospital Gleneagles, Dr Ling Li Min.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg