Subuh
5:38
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19

Dapat miliki semula flat setelah lebih sedekad menyewa

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Dapat miliki semula flat setelah lebih sedekad menyewa

Feb 08, 2024 | 03:00 PM



Setelah 13 tahun tinggal di flat sewa, Cik Aliya Qamaria Abdollah akhirnya dapat memiliki semula rumah sendiri.

Walaupun flat fleksi dua biliknya kini tidak sebesar rumah empat biliknya dahulu, ia telah dibayar penuh dan memenuhi syarat yang ditetapkannya untuk “tidak ada hutang langsung”.

“Saya rasa adalah lebih baik jika saya beli rumah daripada terus menyewa kerana saya tidak perlu fikirkan tentang duit sewa setiap bulan. Saya rasa sangat gembira kerana kini dapat bergerak lebih bebas di rumah sendiri,” kata nenek tiga cucu berusia 61 tahun itu.

Cik Aliya, ibu enam anak, mula tinggal di flat sewa selepas berpisah dengan suaminya sekitar 2010.

Beliau pernah tinggal di flat sewa dua bilik di Aljunied selama tujuh tahun dan flat sewa satu bilik di Tampines selama enam tahun.

Sewa yang dibayarnya antara $300 dengan $100 sebulan bergantung pada beberapa faktor, termasuk pendapatan isi rumah.

Cik Aliya buat masa ini sedang mencari kerja, namun sebelum ini beliau pernah bertugas sebagai pentadbir bilik surat dengan gaji bulanan sekitar $1,400.

Beliau memutuskan untuk mendapatkan flat sendiri pada November 2020 setelah rancangannya untuk menunaikan haji menggunakan simpanan Tabung Simpanan Pekerja (CPF) tidak dapat dilaksanakan.

“Saya kemudian mendapat tahu yang saya boleh menggunakan simpanan itu untuk beli rumah. Saya dirujuk kepada Pasukan Sokongan Pemilikan Rumah (HST) Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB),” kata Cik Aliya.

“Saya menemui pegawai HST di pejabat cawangan HDB di Bedok dan memberitahunya tentang jumlah yang CPF benarkan saya gunakan, simpanan CPF yang saya ada, umur saya dan jenis rumah yang saya mahu. Saya minta pegawai itu tolong buatkan kira-kira.”

Rancangan membeli rumah itu, bagaimanapun, tertunda selama beberapa tahun sebelum disambung pada 2022.

Cik Aliya akhirnya mendapat kunci bagi flatnya di Punggol itu pada Mac 2023. Flat itu dibeli di bawah Penjualan Baki Flat (SBF).

Salah seorang pegawai HST yang membantunya, Cik Cherine Liu, berkata pasukan sokongan itu bertujuan membantu membimbing penghuni rumah sewa, terutama keluarga dengan anak-anak kecil, ke arah pemilikan rumah.

Keluarga itu dinilai sudah bersedia memiliki rumah sendiri tetapi tidak dapat meneruskannya atas pelbagai sebab seperti tidak pasti dengan proses yang perlu dilalui.

“Kami akan mendekati keluarga sedemikian, bimbing mereka, dan bantu mereka memahami seluruh proses pemilikan rumah, termasuk bajet dan pilihan rumah, serta geran dan skim yang ada untuk mereka.

“Kami akan bantu mereka buat permohonan pinjaman dan flat, dan berada bersama mereka ketika membuat pilihan flat dan mengambil kunci. Selepas mereka berpindah, kami akan terus berhubung dengan mereka bagi memastikan mereka dapat menguruskan hutang rumah mereka dengan baik,” katanya.

Bagi Cik Aliya, Cik Liu berkata warga emas itu sendiri yang terdorong membeli flat tetapi tidak pasti sama ada beliau mempunyai simpanan yang mencukupi untuk membeli flat sendiri.

“Cik Aliya telah menemui AP (anggota parlimen) beliau yang membantunya menulis kepada HDB untuk mendapatkan sokongan bagi membimbingnya dalam pemilikan rumah.

“Kami menemuinya dan memberitahu beliau tentang pilihan yang ada untuknya. Cik Aliya kemudian mengambil sedikit masa untuk mempertimbangkan sama ada beliau mahu meneruskan rancangannya itu atau tidak.

“Dalam tempoh dua tahun itu, kami terus berhubung dengannya dan memberitahunya jika ada penjualan flat baru atau jika ada flat yang menepati bajetnya,” kata Cik Liu.

Bagi pembelian flatnya yang berharga $90,967 itu, Cik Aliya memanfaatkan Geran Perumahan Step-Up, iaitu geran untuk keluarga pembeli kali kedua, sebanyak $15,000.

Kini Cik Aliya mahu menyarankan agar anak keempatnya yang tinggal di flat sewa dua bilik bersama isteri dan tiga anaknya agar mendapatkan flat sendiri juga.

“Anak saya itu sudah tinggal di flat sewa selama sekitar 10 tahun. Saya rasa beliau dan keluarganya perlu berpindah ke sekurang-kurangnya flat tiga bilik. Beliau dan isteri perlu ada bilik sendiri. Mereka pun ada anak perempuan dan anak lelaki yang perlukan ruang sendiri,” ujar Cik Aliya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >