Baru-baru ini, 59 individu menerima Anugerah Semangat Keusahawanan atau Spirit of Enterprise (SOE) yang antara lain meraikan usahawan setempat yang telah menunjukkan semangat berinovasi dan tekad untuk memberi sumbangan kepada ekonomi negara. Empat daripada penerima anugerah tersebut berkongsi kisah mereka memupuk perniagaan masing-masing.

Selama hampir 20 tahun menerajui syarikat penerbitan media, pengasas Kaveman Productions Pte Ltd, Encik Khairul Anuar Ibrahim, sering ‘berselindung’ di belakang tabir.

Sikap itu bukan kerana malu atau sombong.

Namun, beliau tetap tekun dan memberi tumpuan yang tidak berbelah bahagi dalam menghasilkan karya terbaik buat kliennya.

Begitulah lumrah bagi individu yang bertugas dalam bidang penerbitan iaitu menjadi ‘wira senyap’ dan tidak disedari oleh orang ramai.

Bagi Encik Khairul, 40 tahun, beliau mula menjadi usahawan dalam bidang tersebut dengan niat memberi kesan baik kepada orang lain, khususnya kliennya, di samping menyelesaikan masalah yang bersangkut paut dengan bidang produksi.

“Apabila saya mula membuka syarikat sendiri, saya rasa terpanggil untuk melihat bagaimana hasil kerja saya dapat meninggalkan impak yang baik kepada orang lain.

“Ramai yang mungkin akan katakan ‘oh kerja saya hanya sekadar membuat video’. Tapi sebenarnya banyak pertimbangan dan banyak tuntutan yang mencabar dalam bidang ini.

“Jadi bila ada permintaan, saya terdorong dengan rasa tanggungjawab untuk membantu orang dan menepati keperluan mereka,” kata beliau.

Berkat kesungguhan dan ketekalannya dalam bekerja, beliau menjadi salah seorang daripada 59 penerima Anugerah Semangat Keusahawanan atau Spirit of Enterprise (SOE) pada 5 November di The Ritz-Carlton, Millenia Singapore.

Malah, anugerah itu merupakan anugerah pertama yang beliau kecapi sebagai seorang usahawan dan pengasas syarikat Kaveman sejak 2008.

Majlis anugerah itu turut dihadiri Menteri Pembangunan Negara, Encik Chee Hong Tat.

Encik Khairul memberitahu Berita Harian (BH), prinsip utama yang dipegang teguh sepanjang mengemudi syarikatnya ialah mengutamakan nilai kemanusiaan dalam setiap perkhidmatan.

“Memang apabila saya mulakan kerjaya ini dari awal, meraih apa-apa anugerah atau kemasyhuran itu tidak terlintas dalam fikiran saya.

“Saya lebih meraih kepuasan apabila dapat memberi perkhidmatan yang baik dan dapat menyenangkan klien saya.

“Selain itu, sebagai seorang usahawan, saya berpegang pada nilai kemanusiaan seperti bersikap adil, jujur dan amanah dalam melaksanakan kerja.

“Dari situ, jika kita laksanakan tugas kita dengan cekap dan jujur, perkhidmatan kita akan dikenali oleh lebih ramai orang,” ujar bapa kepada dua anak itu.

Melihat dirinya dan syarikat Kaveman sebagai satu perniagaan kecil yang tidak diketahui ramai pada peringkat awal, beliau bersyukur kerana telah dapat berkembang dan menjayakan projek untuk beberapa kementerian.

Malah, dengan hasil kerja yang baik dan boleh dipercayai, Kaveman pernah menjadi rakan kerjasama penerbitan media bagi acara Chingay selama 10 tahun sejak 2012.

Kejayaan Encik Khairul hari ini bukan sahaja dapat disandarkan pada perkembangan syarikat Kaveman yang ada sekarang.

Minat itu sebenarnya sudah bermula sejak Encik Khairul menuntut di politeknik apabila beliau membuka syarikat rakaman video sendiri.

Namun, syarikat tersebut tidak dapat dikembangkan dengan jayanya kerana beliau terpaksa menjalani Perkhidmatan Negara (NS).

Kini, dengan ilmu keusahawanan yang lebih matang, Encik Khairul yang merupakan lulusan universiti dalam bidang Kejuruteraan Bioperubatan, lebih berperanan dalam hal pengurusan dan kewangan bagi syarikatnya itu.

“Saya bersyukur dengan pengiktirafan Anugerah SOE ini.

“Jika dahulu, saya lebih suka berada di belakang tabir dan tidak tampil ke depan.

“Namun, dengan anugerah ini, ia ibarat menjadi satu isyarat bahawa saya dapat menjadi sumber inspirasi dan sokongan kepada usahawan muda Melayu/Islam,” kata beliau.