Dari ilham LKY, terbina mercu tanda S’pura
Bagi membuktikan mereka telah ‘tiba’ di Singapura, ramai pelancong bergambar dengan bangunan Marina Bay Sands, yang merupakan antara mercu tanda utama Singapura.
Malah bangunan tersebut dan juga beberapa mercu tanda lain, termasuk Jambatan Jubilee dan Bendungan Marina, bukan sekadar menarik perhatian pelancong malah merupakan tumpuan warga setempat yang sering meluangkan masa di sana.
Bangunan serta kawasan-kawasan itu yang kini menjadi mercu tanda Singapura merupakan hasil cetusan idea mendiang Perdana Menteri Pengasas, Lee Kuan Yew, serta pemimpin generasinya.
Antara projek pembangunan utama di Singapura yang turut bermula daripada hasil buah fikiran mendiang Lee juga termasuk Lapangan Terbang Changi.
Sekitar 1975, mendiang Lee berpendapat bahawa untuk membina lapangan terbang di Changi lebih mendatangkan faedah berbanding lokasi asalnya di Paya Lebar.
Lokasi lapangan terbang itu di Changi telah membolehkan pembangunan serta peluasannya.
Selain itu, terdapat beberapa kawasan lain yang merupakan cetusan idea mendiang Lee, termasuk Sungai Singapura dan Gardens by the Bay, yang kekal sebagai lokasi utama yang perlu dikunjungi apabila di Singapura.

