Bagi Cik Nur Ayuni Mohammad Herfi, menggenggam diploma bukan sekadar impian mengubah masa depan, bahkan peluang membalas pengorbanan datuk dan nenek yang menjaganya sejak bayi lagi.

Dari kecil, Cik Ayuni, 22 tahun, menetap bersama datuk, nenek serta bapa saudara di sebuah flat tiga bilik.

Dengan ruang terhad, beliau tidur dan belajar di ruang tamu.

Namun, keadaan itu tidak pernah mematahkan semangatnya mahu meneruskan pengajian.

Sebagai pelajar, Cik Ayuni memahami bahawa pelajaran merupakan tanggungjawab utamanya.

Namun, beliau berusaha membantu keluarga dalam perkara-perkara kecil, termasuk menghantar sepupu-sepupunya ke sekolah dan menjemput mereka pulang selepas waktu persekolahan.

Baginya, membantu keluarga bukanlah satu beban, sebaliknya merupakan satu penghargaan terhadap mereka yang sentiasa berada di sisinya.

Cik Ayuni juga menghargai pengorbanan datuk dan neneknya mencari rezeki, termasuk usaha nenek menerima tempahan masakan dari rumah serta datuknya yang bekerja sebagai pemandu bas persendirian.

Tetapi, kadangkala beliau bimbang jika pendapatan itu tidak mencukupi untuk menampung keperluan keluarga.

“Saya akan cuba berbelanja mengikut keperluan dan kemampuan. Saya mahu belajar bersungguh-sungguh supaya dapat membantu keluarga serta mengurangkan beban datuk dan nenek,” katanya.

TERIMA DERMASISWA PENDIDIKAN AMP SINGAPURA

Selain cabaran kewangan, Cik Ayuni turut berdepan ujian kesihatan apabila menjalani dua pembedahan untuk membuang ketumbuhan benigna sebelum ini.

Pengalaman tersebut bukan sesuatu yang mudah. Beliau bimbang akan ketinggalan dalam pelajaran dan tidak mampu meneruskan pengajian seperti biasa.

“Emosi saya bercampur baur. Saya risau akan tertinggal banyak perkara di sekolah dan takut tidak dapat meneruskan pengajian. Ada ketika saya hampir berputus asa,” jelasnya.

Namun, sokongan keluarga dan rakan membantunya mengharungi tempoh sukar itu.

Pada 2025, Cik Ayuni berjaya menerima Dermasiswa Pendidikan AMP Singapura.

Bantuan tersebut mengurangkan sedikit kebimbangan kewangan, di samping membolehkannya menyumbang kepada datuk dan nenek serta menyimpan wang untuk keperluan rawatan.

KEJAR IMPIAN SEBAGAI PENGAWAL TRAFIK UDARA

Selepas mengikuti laluan pendidikan di Institut Pendidikan Teknikal (ITE), Cik Ayuni berjaya melangkah ke Politeknik Republic bagi merealisasikan cita-citanya untuk menjadi pengawal trafik udara serta mengembara ke seluruh dunia.

Cik Ayuni juga berharap masyarakat mengubah tanggapan terhadap pelajar lTE.

Menurutnya, laluan pendidikan seseorang tidak seharusnya menjadi ukuran kebolehan atau potensi mereka. Dengan ketekunan, peluang dan sokongan yang sewajarnya, setiap pelajar berhak mengejar kejayaan.

Pelajar Diploma Pengurusan Penerbangan itu berkata:

“Kerjaya ini menjadi langkah penting untuk mencapai kestabilan kewangan, membina masa depan lebih cerah, di samping menghadiahkan kehidupan lebih selesa buat keluarga tercinta.”

KEMPEN DANA SIAP KE SEKOLAH SASAR $350,000

Sejak dilancarkan pada 2002, Dana Siap ke Sekolah (RFS) AMP Singapura telah membantu pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah membuat persediaan persekolahan.

Kempen ini menyasarkan kutipan sebanyak $350,000 bagi menyokong keperluan pendidikan pelajar demi membina masa depan pelajar yang lebih cerah.

Usaha ini diperluas pada 2005 dengan pengenalan Dermasiswa Pendidikan AMP Singapura, yang menyokong pelajar pengajian tinggi pada peringkat diploma dan ijazah.

Sumbangan bulanan amat digalakkan bagi memastikan bantuan dapat disalurkan secara berterusan kepada pelajar memerlukan, sekali gus meringankan beban kewangan keluarga mereka.

SEKILAS

Bantuan AMP menerusi pelbagai program dan perkhidmatan merangkumi:

+ sokongan pekerjaan dan pembangunan diri

+ bantuan kewangan dan pengurusan hutang

+ pemulihan dan penyepaduan semula ke dalam masyarakat

+ sokongan kepada keluarga dan belia berkeperluan

+ perkhidmatan sosial seperti kaunseling dan talian bantuan AMP

Cara menderma:

+ Portal Dalam Talian: Layari ampdonate.sg untuk memilih dana khusus.

+ PayNow UEN: 199105100D.

+ Pemindahan bank ke dalam akaun UOB: 125-304-515-4 (Kod Cawangan: 025).

+ Cek atas nama ‘AMP’ dan hantarkan ke alamat 1 Pasir Ris Drive 4, #05-11, Singapura 519457.

Sertakan nama penuh, nombor kad pengenalan (NRIC), dan maklumat hubungan untuk tujuan potongan cukai.

+ Kunjungi pejabat AMP di Pasir Ris Drive 4, #05-11, Singapura 519457 (Selasa hingga Khamis, 9 pagi hingga 5 petang)

Logo ulang tahun ke-35 AMP Singapura melambangkan komitmen berterusan pertubuhan itu dalam memperkasa masyarakat Melayu/Islam sejak 1991.
Logo ulang tahun ke-35 AMP Singapura melambangkan komitmen berterusan pertubuhan itu dalam memperkasa masyarakat Melayu/Islam sejak 1991. - Foto AMP SINGAPURA
Kod QR PayNow AMP Singapura memudahkan orang ramai menyalurkan sumbangan bagi menyokong program bantuan pendidikan, termasuk Dana Siap ke Sekolah yang menyasarkan kutipan $350,000 bagi 2026.
Kod QR PayNow AMP Singapura memudahkan orang ramai menyalurkan sumbangan bagi menyokong program bantuan pendidikan, termasuk Dana Siap ke Sekolah yang menyasarkan kutipan $350,000 bagi 2026. - Foto AMP SINGAPURA
Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti