Topik diikuti
Pergi ke BHkuDari pendiam jadi lebih yakin, program penjara beri tujuan hidup baharu
Dari pendiam jadi lebih yakin, program penjara beri tujuan hidup baharu
Dalam suasana program Anugerah Pencapaian Belia Kebangsaan (NYAA) yang melibatkan golongan warga emas dari Pusat Penuaan Aktif Allkin dan banduan wanita di Penjara Changi, kelihatan seorang wanita yang bertenaga tinggi dan ligat berinteraksi bersama 10 warga emas tersebut.
Kelompok warga emas itu turut kelihatan terhibur dan kerap bersorak apabila wanita tersebut cuba untuk memeriahkan suasana aktiviti yang sedang mereka lakukan.
Itulah Sya (bukan nama sebenar), 26 tahun, yang sebenarnya bersifat pendiam dan pemalu secara semulajadinya.
Namun, melalui program NYAA yang diadakan buat golongan banduan, ia telah mendorongnya untuk keluar dari ‘kepompong’ dan bersifat lebih yakin apabila menjalankan kegiatan bersama orang lain.
Bagi Sya, yang telah dijatuhkan hukuman penjara selama dua tahun pada 2025 atas kesalahan penyalahgunaan dadah, dia telah hilang keyakinan dan kepercayaan diri sejak meringkuk dalam penjara.
Namun, semangatnya kembali menyala saat pertama kali mendapat tahu mengenai program NYAA buat banduan di penjara.
Atas rasa ingin tahu yang kuat, dia pun telah bertanya kepada pegawai penjara dan menyuarakan hasrat untuk menyertainya.
Katanya: “Apabila saya berada di penjara, saya lebih banyak mendiamkan diri dan saya rasakan diri saya sebagai seorang ‘introvert’.
“Namun, apabila saya mendapat tahu mengenai program itu, tercetus keinginan kuat untuk mengetahui lebih lanjut tentang NYAA?
“Saya pun menghampiri seorang pegawai untuk bertanya dan pada masa yang sama, saya nyatakan minat saya untuk mengambil bahagian.”
Sikapnya yang lebih suka mendiamkan diri bukanlah atas dasar perasaan malu atau ‘introvert’ semata.
Malah, ia bertitik juga daripada rasa kekesalan atas kesilapan silam yang pernah dilakukan hingga membuat dia rasa takut dengan bayang-bayang sendiri dan kerap mempertikaikan dirinya.
Dia berkongsi, pada awalnya, sebelum menyertai program NYAA, dia tidak dapat membayangkan dirinya menjadi seorang yang begitu aktif dan giat berinteraksi dengan orang lain apatah lagi untuk berkhidmat kepada masyarakat.
“Sebelum ini, ia tidak pernah terlintas langsung dalam fikiran saya untuk bergiat aktif sewaktu berada dalam penjara.
“Jika ada terfikir pun, saya akan cepat-cepat menidakkannya sambil berkata ‘ish merepek sahaja untuk saya lakukan semua itu’,” katanya.
Namun, wujudnya program NYAA di Perkhidmatan Penjara Singapura (SPS) sejak tahun 2000 telah memberikan satu sinar harapan buat banduan seperti Sya.
NYAA merupakan sebahagian daripada usaha pemulihan bagi menyuntik semangat dan menggalakkan banduan agar terus komited terhadap usaha perubahan diri sepanjang tempoh pemenjaraan mereka.
Sejak diperkenalkan, program NYAA telah diperluas kepada lebih ramai banduan dengan lebih daripada 2,400 banduan telah mendapat manfaat daripada program tersebut sepanjang tempoh pelaksanaannya di penjara.
Pada 2026, seramai 96 banduan telah mengambil bahagian dalam program itu.
Melalui beberapa kegiatan seperti sukan dan khidmat masyarakat yang disajikan dalam program tersebut, ia bukan sahaja telah memberi Sya satu tujuan kehidupan yang baharu, malah turut membentuknya menjadi insan yang dapat memberi manfaat kepada orang lain.
Bagi Sya yang juga berperanan sebagai penyokong rakan sebaya dan Pembantu Unit Pemulihan (CUA) di penjara, dia telah juga menyalurkan pengalaman dan nilai yang diperoleh kepada rakan tahanan.
“Setiap kali selesai program NYAA, saya akan kembali ke sel dan berkongsi dengan kesemua rakan sel saya.
“Ini secara tidak langsung dapat membangunkan satu sistem sokongan yang sihat sesama kami, pesalah muda.
“Saya bersyukur dengan program ini saya bukan sahaja dapat membantu pesalah lain, malah, dapat juga menyumbang semula kepada masyarakat khususnya warga emas dari Pusat Penuaan Aktif Allkin,” ujar Sya yang telah merangkul anugerah emas dalam program tersebut.