Buat julung-julung kali, Darul Arqam Singapura bakal mengadakan, ‘Gema Syahadah’, forum selama dua hari yang akan membincangkan tentang perjalanan mualaf dan kepentingan sokongan masyarakat Islam dengan lebih terperinci.
Menurut Pegawai Dakwah Darul Arqam Singapura, Ustaz Luqman Jamal, tujuan forum itu adalah bagi berkongsi pengetahuan, kesedaran serta pemahaman tentang saudara Islam yang baru memeluk agama Islam.
“Matlamat forum ini adalah meningkatkan kesedaran dalam masyarakat Islam setempat tentang cara menyokong saudara baru kita. Selain itu, ia memberikan pemahaman lebih jelas kepada mualaf tentang permulaan kehidupan baru sebagai seorang Muslim,” jelas Ustaz Luqman.
Bagi kebanyakan mualaf, perjalanan kerohanian mereka tidak berakhir dengan pengucapan syahadat.
Sebaliknya, ia menandakan permulaan lembaran baru yang penuh dengan pembelajaran, pembangunan dan peningkatan kendiri, dan juga penyesuaian dengan cara kehidupan baru.
Forum itu bukan sahaja disasarkan untuk golongan mualaf atau mereka yang bakal memeluk agama Islam. Pada masa yang sama, Darul Arqam mahu mendidik dan meningkatkan kesedaran dalam kalangan orang Islam yang ingin kembali mengamalkan cara hidup Islam sejati.
Sesi itu akan menampilkan penceramah terkenal dari Malaysia dan Singapura. Terdapat tiga ceramah dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris.
Ceramah-ceramahnya:
1. Tajuk: ‘Kembali Kepada Fitrah’. Ahli Panel: Dato’ Profesor Dr Mohd Farid Ravi, Ustazah Datuk Dr Norhafizah Musa dan Ustaz Nuzhan Abdul Halim.
2. Tajuk: ‘Anugerah Syahadah’ (dalam Bahasa Inggeris). Ahli Panel: Dato’ Profesor Dr Mohd Farid Ravi, Encik Imran Kuna (Presiden Darul Arqam Singapura).
3. Tajuk: ‘Pahit Akan Manis Akhirnya’. Ahli Panel: Dato’ Profesor Dr Mohd Farid Ravi, Ustazah Datuk Dr Norhafizah Musa dan Ustaz Fizar Zainal.
“Ini akan menjadi panduan kepada saudara baru dan memastikan mereka tidak tersimpang daripada jalan yang benar. Daya usaha ini juga memberi harapan kepada saudara baru bahawa mereka tidak bersendirian dalam usaha mereka mendalami ilmu Islam.
“Kami juga mengharapkan masyarakat Islam setempat turut hadir di forum ini,” kongsi Ustaz Luqman tentang manfaat yang boleh diraih daripada tiga forum itu.
Pendaftaran bagi ‘Gema Syahadah’ yang akan diadakan di Suntec Convention Centre, Dewan 406, pada 20 Julai 2024 dan Masjid Sultan pada 21 Julai 2024 terbuka kepada semua.
Untuk mendapatkan tiket atau keterangan lanjut, layari www.mcas.sg/gemasyahadah atau media sosial Instagram: darularqamsg.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg