Rumah Tumpangan Warga Emas Jamiyah (Darul Takrim) telah mula mengambil langkah menjadi mesra demensia sedang bilangan penghuninya yang mengalami nyanyuk kian bertambah.

Pada 7 November, semasa acara rumah terbuka sempena sambutan ulang tahunnya yang ke-30, rumah tumpangan di Tampines itu melancarkan ruang khas yang dinamakan Tangerine Room bagi menyediakan penjagaan demensia yang lebih tertumpu dan diperibadikan, dengan sudut untuk penghuni menenangkan diri dan menyertai kegiatan sosial.

Dalam masa beberapa tahun akan datang, Jamiyah merancang untuk membangunkan program demensia yang lebih berstruktur, terus mengukuhkan latihan kakitangannya di rumah tumpangan itu, dan meningkatkan kerjasama dengan rakan kongsi masyarakat dan penjagaan kesihatan.

Ia juga mahu membawa amalan mesra demensia melangkaui Tangerine Room ke dalam sekitaran dan rutin harian penghuni.

Presiden Jamiyah, Dr Mohd Hasbi Abu Bakar, dalam ucapannya pada majlis itu, berkata:

“Sedang Darul Takrim memasuki dekad keempat perkhidmatannya, satu cabaran kini ketara: demensia. Semakin ramai penghuni kami mengalaminya.

“Tanggungjawab penjagaan kami tidak berakhir apabila ingatan pudar. Setiap penghuni berhak mendapat layanan penuh bermaruah, belas ihsan dan kesabaran.”

Darul Takrim mempunyai 105 penghuni, dengan 10 telah disahkan mengalami demensia dan enam lagi menunjukkan tanda-tanda mengalami nyanyuk.

Tangerine Room, yang dilancarkan tetamu terhormat majlis, Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik David Neo, ditubuhkan selepas kakitangan rumah tumpangan itu menjalani latihan penjagaan dementia berstruktur selama lebih dua tahun bersama Hospital Besar Changi.

Mereka juga memanfaatkan pengalaman penyedia penjagaan lain dan nasihat pakar tempatan dan antarabangsa dalam reka bentuk dan penjagaan demensia.

Dalam ucapannya, Encik Neo berkata misi Darul Takrim akan menjadi semakin penting menjelang 2030 apabila satu dalam empat penduduk Singapura akan berusia 65 tahun ke atas.

“Sumbangan dan khidmat anda akan menjadi semakin bermakna. Anda menyediakan sebuah masyarakat yang menjadi tempat warga emas bernaung, mendapat penjagaan dan kasih sayang, serta menjalani kehidupan di usia senja dengan penuh maruah,” kata Anggota Parlimen GRC Tampines itu.

Justeru, selain menawarkan penjagaan demensia dan menyediakan sekitaran mesra demensia, rumah tumpangan itu juga akan meningkatkan kepakaran kakitangannya dalam bidang penuaan selain menyokong penghuni ke arah menjalani kehidupan yang berdikari dalam masyarakat, kata Jamiyah.

Acara itu juga menyaksikan penyampaian Anugerah Pengajian Perubatan Dr Kutbuddin-Jamiyah Singapura yang kelima kepada 10 penuntut bidang kejururawatan dan perubatan. Anugerah itu berjumlah $15,000.

Rumah tumpangan itu dibuka pada 15 Disember 1996 di Still Road sebelum berpindah ke Tampines pada 1998.

Selain memberi perlindungan dan bantuan harian kepada penghuni, rumah tumpangan itu sejak sedekad lalu menawarkan pemeriksaan kesihatan wajib, menyediakan bilik fisioterapi dan menjalani transformasi bagi menyatukan kejururawatan, pengurusan kes, kerja sosial dan program bermakna dalam rangka kerja penjagaan yang bersepadu.