Pertumbuhan ekonomi Singapura pada tahun-tahun mendatang akan dihambat pelbagai cabaran dalaman dan luaran, termasuk kekurangan sumber serta persekitaran dunia yang semakin bergejolak.
Justeru, adalah perlu memberi tumpuan pada strategi serampang tiga mata demi menjamin pertumbuhan ekonomi mampan seterusnya, kata Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Penyelaras bagi Dasar Ekonomi, Encik Heng Swee Keat, pada 27 Februari.
Strategi itu ialah mengekalkan usaha transformasi ekonomi, mewujudkan ekosistem inovasi kukuh, dan memastikan Singapura terus menjadi rakan kongsi dipercayai dan diyakini dunia, ujar beliau.
Encik Heng berkata demikian pada hari kedua bahas mengenai Belanjawan 2024, yang menurutnya menyediakan sokongan menyeluruh bagi melakar hala tuju masa depan Singapura, terutama dalam persekitaran domestik dan dunia tidak menentu.
Dunia semakin “berpecah berdasarkan pendirian politik”, kata Encik Heng, sambil menambah bahawa ini berserta gejolak geopolitik kian teruk menambah kepada ketidaktentuan sedia ada.
Singapura kini mempunyai ekonomi matang, namun kekangan sumber – dari segi tenaga kerja, tanah, atau karbon – semakin genting, ujar Encik Heng.
Dengan pertumbuhan tenaga kerja yang semakin berkurangan, Encik Heng menekankan Singapura perlu memberi tumpuan pada pertumbuhan lebih mencabar, iaitu yang berasaskan produktiviti.
“Meskipun kita ingin melabur pada usaha mengukuhkan produktiviti, termasuk mempertingkat keupayaan industri tertentu, mustahil ia dapat menandingi skala dan saiz (industri) negara lebih besar,” katanya.
Namun, Encik Heng melahirkan keyakinannya akan keupayaan negara ini mencari jalan keluar dan terus maju.
Beliau memberi contoh usaha tripartit (tiga pihak) untuk terus memperbaharui 23 sektor industri sejak 2017 melalui inisiatif Peta Transformasi Industri.
Ia melibatkan kerjasama antara agensi pemerintah dan perniagaan serta persatuan perdagangan, sementara kesatuan sekerja bekerjasama dengan syarikat membantu pekerja mempertingkat kemahiran.
Pendekatan kolaboratif dalam memacu transformasi ini luar biasa dan dengan cara ini, ia memastikan peluang dan manfaat yang diperoleh boleh dikongsi, kata Encik Heng.
Beliau berkata berkata dengan mengekalkan momentum usaha transformasi, rakyat Singapura boleh kekal dalam kedudukan baik untuk bekerjasama dengan orang lain dan merebut peluang baru dengan yakin.
“Dunia mungkin lebih sukar, dan kekangan domestik kita mungkin lebih mencabar,” katanya.
“Tetapi saya telah meletakkan asas kukuh bagi keyakinan saya, bahawa ekonomi kecil dan terbuka seperti Singapura boleh terus berkembang maju dan menjamin pertumbuhan seterusnya.”
Dalam pada itu, Singapura juga perlu membina ekosistem yang membolehkan pelaksanaan pekerjaan terkini dan bernilai tinggi.
Ini terutama dengan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), yang menawarkan peluang mengatasi kekurangan sumber dan memperoleh nilai baru dan mungkin menjadi pemacu pertumbuhan ekonomi negara pada masa akan datang, ujar Encik Heng.
Dalam usaha ke arah matlamat tersebut, universiti dan institut pengajian perlu membentuk asas pandangan dan pengetahuan saintifik, syarikat pula perlu menggunakan pengetahuan ini untuk berinovasi dan membentuk penyelesaian yang boleh digunakan dalam industri.
Demi mendukung ekosistem pengajian, inovasi dan perusahaan, pelaburan perlu dibentuk secara proaktif dan bertahap, kata Encik Heng.
Justeru, pelaburan tambahan sebanyak $3 bilion ke dalam usaha penyelidikan dan pembangunan (R&D) tepat pada masanya memandangkan Singapura ingin mempertingkat keupayaan dalam bidang pertumbuhan seperti AI, kemampanan dan perkilangan berperingkat tinggi.
Singapura juga perlu menjalin hubungan dan kerjasama lebih baik pada semua peringkat serta memperkukuh kedudukannya sebagai hab teknologi, inovasi dan perusahaan dipercayai.
Meskipun dengan kerjasama global yang semakin berkurang, perniagaan dan negara lain sedar bahawa Singapura terus kekal sebagai lokasi neutral dan membina bagi perniagaan, inovasi dan bakat, tambah Encik Heng.
Kelebihan ini – merangkumi reputasi yang dipercayai dan rangkaian meluas – perlu dimanfaatkan untuk “mendorong rakan kongsi sehaluan tumbuh di Singapura, melalui Singapura, dan bersama Singapura”, kata Encik Heng.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg