DATA sekitar 200,000 pelanggan Starbucks yang merupakan warga Singapura ditemui dijual di forum dalam talian sejak 10 September, lapor akhbar The Straits Times.
Pelanggan yang terjejas menerima e-mel daripada rantaian kafe itu pada Jumaat (16 September) yang memaklumkan mereka bahawa terdapat kebocoran data yang mendedahkan butiran seperti nama, alamat dan e-mel mereka.
Jurucakap Starbucks Singapore berkata pihaknya mengetahui tentang kebocoran data itu hanya pada 13 September sambil menambah pelanggan yang terjejas adalah yang memiliki akaun dan telah membuat transaksi menerusi aplikasi itsapp atau gedung dalam talian.
Dalam e-mel yang dilihat The Straits Times, pelanggan diberitahu bahawa data kad kredit mereka tidak terjejas kerana Starbucks tidak menyimpan data tersebut.
Keterangan lain berhubung dengan program kesetiaan pelanggan termasuk nilai tersimpan, ganjaran dan kredit kekal seperti biasa, katanya.
"Kami dengan segera telah mengambil langkah sewajarnya untuk melindungi keterangan pelanggan. Kami juga bekerjasama sepenuhnya dengan pihak berkuasa dalam siasatan yang dijalankan," kata jurucakap itu.
Sejauh ini, satu salinan pangkalan data mengandungi data pelanggan telah dijual dengan harga yang tertera adalah $3,500.
Lagi empat salinan pangkalan data turut ditawarkan untuk jualan dalam talian.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg