Selepas sehari suntuk di sekolah, kebanyakan pelajar biasanya tidak sabar untuk pulang dan berehat.

Namun, bagi Nur Haziqah Riduan, murid Darjah 4 dari Sekolah Rendah Qihua, tempoh itu penting baginya memulakan kegiatan kemasyarakatan dan sukarela yang sudah mendarah daging dalam dirinya.

Sejak Oktober 2022, Nur Haziqah giat menjalankan kerja sukarela pada setiap Rabu minggu pertama dalam setiap bulan bersama datuknya, Encik Abdul Gani Ibrahim, 75 tahun, dan neneknya, Cik Koraisha Abdul Kadir, 70 tahun, di pusat agihan Food from the Heart (FFTH) di Blok 824, Woodlands Street 81.

Di sana, Nur Haziqah bantu membungkus dan mengagihkan barangan makanan kepada warga emas dan keluarga yang memerlukan.

Komitmen si cilik ini tidak berbelah bahagi terhadap khidmat masyarakat sehinggakan dia menerima anugerah berprestij – Anugerah Wira Dalam Diam Singapura (Kategori Pelajar) atau Silent Heroes Singapore (SSH) 2025 – di Auditorium Spring Singapore, pada 5 Julai.

Ini merupakan kali ketiga Persatuan Awam Singapura (CAS) atau Civilians Association Singapore dan Gerakan Wira Senyap Singapura (SSH) menganjurkan majlis penyampaian anugerah buat pelajar berjiwa murni.

Seramai 84 individu daripada 37 sekolah di serata Singapura yang menunjukkan rasa ihsan dan kemanusiaan luar biasa terhadap golongan memerlukan dan misi sosial diiktiraf.

Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Pendidikan), Cik Jasmin Lau, adalah tetamu terhormat pada acara penyampaian Anugerah Wira Dalam Diam Singapura itu.

“Kami sentiasa menyokong penglibatan Nur Haziqah dalam kerja-kerja kemasyarakatan. Kami juga berasa bangga kerana usahanya kini mendapat pengiktirafan,” kata Cik Koraisha, yang juga pernah menerima Pingat Bakti Masyarakat 2015, atas sumbangan murninya kepada masyarakat.

Apabila ditanya tentang penglibatannya dalam kerja sukarela, Nur Haziqah, berkata apa yang bermula sekadar untuk menemani neneknya akhirnya berkembang menjadi usaha gigih yang berterusan baginya membantu orang.

“Pada mulanya, saya hanya ikut nenek tetapi lama-kelamaan, saya dah biasa. Sekarang, setiap kali nenek ajak, saya terus ikut dan tolong beliau dan rakan-rakannya,” kata Nur Haziqah.

Ibunya, Cik Haslin Abdul Gani, 47 tahun, seorang pentadbir dan eksekutif operasi, pula dapat melihat bagaimana kerja sukarela membentuk dan mengubah perwatakan Nur Haziqah daripada seorang yang pendiam kepada yang senang bergaul dengan orang ramai.

“Pada mulanya, dia seorang yang pendiam dan suka memendam rasa.

“Tapi sekarang, melalui pengalaman menjadi sukarelawan, Nur Haziqah lebih terbuka dan lebih menghormati orang lain.

“Dia tahu bagaimana untuk berkomunikasi dengan pelbagai peringkat usia –daripada kawan-kawan sebaya hinggalah warga emas. Dia juga semakin memahami erti kesabaran dan kasih sayang,” jelas Cik Haslin.

Ada kalanya, dia menghadapi kesukaran untuk mengangkat beg yang berat dan berkomunikasi dengan warga emas yang mungkin bersikap kurang mesra atau sukar difahami.

Namun, dari masa ke masa, dia belajar untuk mengatasi halangan ini dengan penuh kesabaran dan apabila ragu-ragu, dia akan meminta bantuan daripada neneknya.

“Sekarang saya dah tak takut lagi,” katanya sambil tersenyum penuh bangga.

Nur Haziqah turut mengalu-alukan penyertaan kanak-kanak lain mahupun mereka yang lebih dewasa dalam kerja sukarela.

“Mereka perlu mencuba dahulu kerja sukarela ini. Bila dah cuba, lama-lama mereka akan rasa seronok dan terbiasa.

“Lebih baik mereka turun padang dan ikut membantu golongan memerlukan,” ujarnya, yang merupakan anggota kelab mesra alam, Green Club, di sekolah, dan sebahagian daripada inisiatif kemampanan dan kitar semula, Recycle Me.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti