DAYA usaha untuk menggalak orang ramai mengitar semula bekas minuman terpakai untuk deposit yang boleh dikembalikan akan dijalankan oleh industri pengeluaran minuman, yang kemudiannya akan mempunyai insentif yang kuat untuk beroperasi dengan cekap dan kos efektif, kata Menteri Negara Kanan bagi Kemampanan dan Sekitaran, Dr Amy Khor, pada Selasa (4 Okt).
Dr Khor menjawab soalan parlimen mengenai skim pemulangan botol minuman terpakai, yang dalam fasa perundingan selepas Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) melancarkan tinjauan untuk mengumpul maklum balas orang ramai pada 20 September. Di bawah skim itu, pengguna akan membayar deposit yang boleh dikembalikan - dianggarkan sekitar 10 hingga 20 sen - sebagai tambahan kepada kos minuman itu. Pengguna akan mendapat semula wang deposit ini jika mereka memulangkan bekas terpakai di lokasi-lokasi yang kini masih belum dikhususkan. NEA sebelum ini berkata skim itu akan meliputi botol plastik dan tin logam daripada 150 mililiter hingga 3 liter. Ini akan meliputi lebih daripada 1 bilion bekas minuman di Singapura setiap tahun. Encik Ang Wei Neng (GRC West Coast), Encik Zhulkarnain Abdul Rahim (GRC Chua Chu Kang) dan Encik Liang Eng Hwa (GRC Bukit Panjang) telah bertanyakan tentang kos dan skala skim itu. Menjawab soalan mereka, Dr Khor berkata pengeluar minuman, seperti pengilang dan pengimport, akan bertanggungjawab ke atas pengumpulan dan kitar semula produk yang mereka keluarkan di pasaran, serta membiayai skim itu. Dalam skim yang sama di luar negara, pengeluar biasanya melantik operator untuk menjalankan tanggungjawab mereka di bawah skim tersebut. Pengendali skim bukan untung yang diterajui industri diutamakan, tambahnya lagi. "Memandangkan skim ini dimiliki dan dikendalikan oleh industri, ia akan mempunyai insentif yang kuat untuk mengendalikan skim itu dengan cekap dan kos efektif, untuk memastikan kos skim rendah untuk semua pihak," kata Dr Khor. "Selain itu, hasil daripada penjualan barangan kitar semula yang bersih, berkualiti tinggi dan bernilai tinggi, dan sebarang deposit yang tidak dituntut akan digunakan oleh pengendali skim untuk mengurangkan kos skim," kata Dr Khor.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg