FAKTOR kaum akan menjadi kurang penting untuk menilai seseorang sedang warga Singapura terus memperkukuh dan memahami masyarakat etnik berbeza-beza.
Ini juga akan berlaku apabila masyarakat berbilang budaya dan warisan di sini kian menjadi sebahagian daripada negara ini, kata Encik Christopher De Souza (Holland-Bukit Timah).
Menyertai perbahasan Belanjawan 2021 semalam, Encik De Souza menggesa warga Singapura menjadi masyarakat berbilang kaum bersatu sebagai sebuah keluarga Singapura.
Namun, beliau berkata ini tidak bermakna warga Singapura harus meremehkan kekayaan dan perbezaan unik dalam setiap kaum atau budaya.
Sebaliknya, perpaduan sosial akan dipertingkat jika semua orang lebih memahami perbezaan antara budaya dan kekayaan yang dimiliki setiap warisan etnik.
Menurut Encik De Souza, isu kaum kurang bermain di minda warga Singapura, terutama golongan lebih muda, berbanding kewarganegaraan mereka.
"Bagi warga dalam kumpulan usia saya dan yang lebih muda, saya rasa petanda identiti mereka ialah sebagai warga Singapura dahulu, diikuti kaum etnik," katanya.
Encik De Souza berkata isu kaum dan identiti sebagai warga Singapura dekat di hatinya kerana beliau, seorang Serani, mempunyai anak angkat Cina yang kini mendewasa dengan pengalaman budaya bercampur dan sebagai warga Singapura.
"Tiada lensa binari untuk melihat kaum hingga kaum menjadi tidak penting atau terlalu penting hingga meremehkan yang lain. Ia adalah satu spektrum berterusan," ujarnya.
Menyentuh tentang dasar berbilang kaum dalam memilih kepimpinan dalam pemerintah, Encik De Souza berkata calon terbaik bagi sesuatu jawatan perlu dipilih tanpa mengambil kira kaumnya.
Sebaliknya, beliau harus dipilih menggunakan faktor lasak seperti karakter, keupayaan, nilai dan pengalamannya, kata Encik De Souza, yang menambah bahawa Singapura kian hampir kepada realiti mempunyai calon terbaik untuk memimpin pemerintah tanpa mengambil kira kaumnya.
Namun beliau akur perjalanan Singapura masih jauh.
"Namun, harapan saya bagi Singapura ialah pada satu hari nanti, mungkin apabila memutuskan Perdana Menteri 5G atau 6G, kaum seseorang tidak akan digunakan sebagai kelebihan atau kriteria bagi membuat orang itu tidak layak.
"Kita adalah sebuah negara yang terlalu kecil untuk mengetepikan seseorang berdasarkan kaum. Ini pandangan saya berdasarkan kepercayaan peribadi," kata beliau.
Menekankan beliau berhujah demikian bukan untuk berkata kaum tidak penting dan beliau tidak mahu hujahnya disalah anggap, Encik De Souza berkata beliau yakin Perdana Menteri Lee Hsien Loong orang terbaik bagi jawatan itu dan orang yang dipilih oleh Menteri 4G adalah yang terbaik untuk memimpin pasukan tersebut.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg