Dekorasi Raya dari bahan kitar semula
KECERIAAN Syawal yang bakal menjelma tidak lama lagi jelas dapat dirasakan orang ramai yang lalu di jambatan stesen MRT King Albert Park yang sudah siap dihias dengan dekorasi Hari Raya.
Namun, menariknya, dekorasi tersebut dibuat daripada barang yang dikitar semula, seperti percikan bunga api yang dibuat daripada botol air dan ketupat yang dibuat daripada beg plastik.
Konsep dekorasi Hari Raya di jambatan itu adalah hasil idea pelajar Sekolah Seni Singapura (Sota), Heema Izzati Zainudin, 14 tahun.
Beliau membuat video tutorial cara membuat dekorasi itu yang kemudian ditonton sukarelawan dan penduduk kawasan Bukit Timah dan Ulu Pandan yang membuat dekorasi itu sendiri.
Semalam, penasihat badan akar umbi GRC Holland-Bukit Timah, Cik Sim Ann dan Encik Christopher de Souza, mengunjungi jambatan itu untuk melihat dekorasi tersebut bersama Heema (gambar).
Cik Sim Ann, yang baru-baru ini dilantik sebagai Menteri Negara Kanan (Kementerian Ehwal Luar), berkata dekorasi tersebut pada awalnya dirancang dihiaskan di Jambatan Kekuda Bukit Timah (Bukit Timah Truss Bridge), namun disebabkan keprihatinan tentang ramai orang, mereka telah mendapatkan keizinan daripada Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) untuk menghiasi jambatan stesen MRT King Albert Park pula.
"Kami berharap penduduk yang melalui jambatan ini juga boleh menyertai dalam kemeriahan perayaan ini," kata beliau.

