Topik diikuti
Pergi ke BHkuDelegasi S’pura lawat lintasan Rafah, teliti usaha kemasukan bantuan ke Gaza
Zaqy: S’pura akan teruskan usaha bantu warga Palestin yang terjejas akibat konflik Israel-Gaza.
Delegasi S’pura lawat lintasan Rafah, teliti usaha kemasukan bantuan ke Gaza
Meskipun konflik di Timur Tengah masih berterusan, adalah penting bagi Singapura untuk tidak melupakan krisis kemanusiaan di Gaza dan terus memberikan sokongan kepada mereka yang terjejas, kata Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Zaqy Mohamad.
Beliau, yang juga Menteri Negara Kanan (Pertahanan), berkata walaupun Singapura adalah sebuah negara kecil dan terletak jauh dari kawasan Timur Tengah, ia akan terus membuat sedaya upaya untuk membantu mereka yang terjejas akibat konflik Israel-Gaza.
Encik Zaqy berkata demikian kepada media Mesir semasa melawat sempadan Rafah pada 11 November untuk meneliti usaha yang dijalankan oleh negara itu dalam memudahkan kemasukan bantuan kemanusiaan dan kecemasan ke Semenanjung Gaza.
Ini selain meninjau mekanisme penerimaan pesakit serta mangsa cedera rakyat Palestin dan pemindahan mereka untuk menerima rawatan di hospital-hospital Mesir.
“Dengan krisis yang sedang berlaku di Timur Tengah, adalah penting kita tidak melupakan krisis kemanusiaan di Gaza.
“Kita mesti terus sokong mereka yang terjejas, hulurkan bantuan, dan lakukan apa yang termampu.
“Singapura mungkin negara yang kecil dan terletak jauh (dari kawasan Timur Tengah), namun ramai rakyat Singapura tidak melupakan apa yang sedang berlaku di Gaza,” ujarnya.
Di sempadan Rafah, Encik Zaqy turut diiringi anggota SG Bagi Kemanusiaan iaitu Humanity Matters (HM), Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF), Palang Merah Singapura (SRC) dan Mercy Relief (MR), serta wakil daripada Persatuan Bulan Sabit Mesir (ERC).
Lawatan delegasi Singapura ke sempadan Rafah itu merupakan kesinambungan daripada sumbangan kemanusiaan terdahulu bagi menyokong Semenanjung Gaza, di tengah-tengah usaha berterusan Mesir dalam menyelaras penghantaran bantuan antarabangsa kepada rakyat Palestin yang cedera dan sakit.
Turut bersama beliau semasa lawatan itu ialah Duta Singapura ke Mesir, Encik Dominic Goh dan Gabenor Sinai Utara, Mejar Jeneral Dr. Khaled Maghewar, dengan lawatan tersebut mendapat liputan meluas oleh media Mesir.
Encik Zaqy berada di Mesir sempena lawatan rasminya ke negara itu, selain Arab Saudi, dari 8 hingga 14 November.
Sempadan Rafah merupakan laluan penting yang menghubungkan Gaza dengan Mesir.
Ini khususnya bagi membolehkan kemasukan bantuan kemanusiaan, pemindahan pesakit dan orang awam yang memerlukan perlindungan, serta penyaluran bekalan asas kepada penduduk Gaza yang terjejas dek konflik.
Sempadan itu dibuka semula kepada pergerakan orang awam mulai 2 Februari 2026, menyusuli perjanjian gencatan senjata Gaza pada Oktober 2025.
Encik Zaqy berkata penyelarasan usaha kemanusiaan ini dapat diraih menyusuli hubungan erat antara Singapura dengan Mesir.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada pemerintah Mesir dan ERC atas sokongan mereka, di samping usaha badan-badan Singapura yang bekerjasama dengan SG Bagi Kemanusiaan untuk menyalurkan bantuan dan sumbangan kepada golongan terjejas.
Awal dari itu pada 10 November, Encik Zaqy mengumumkan bahawa RLAF dan ERC telah memeterai satu perjanjian bagi menyediakan antara lain makanan panas, bekalan perubatan dan barangan keperluan musim sejuk bagi warga Palestin di Gaza.
RLAF turut menyampaikan cek bernilai lebih setengah juta dolar kepada ERC, manakala SRC menyumbang sebanyak $200,000 lagi bagi menyokong usaha bantuan kemanusiaan di bawah inisiatif rangkaian SG bagi Kemanusiaan yang dilancarkan pada 5 November.