Topik diikuti
Pergi ke BHkuDera bayi 8 bulan hingga maut, ibu bapa dihukum penjara
Bayi digoncang, dipukul oleh pasangan, anggap penderaan satu perkara melucukan
Dera bayi 8 bulan hingga maut, ibu bapa dihukum penjara
Sepanjang hayatnya yang singkat, muka bayi berusia lapan bulan, Trevor Neo, ditekap, dia digoncang dan dipukul oleh ibu bapanya sendiri yang menganggap penderaan berkenaan sebagai satu perkara yang melucukan.
Bapa bayi berkenaan, Neo Jia Ming, 27 tahun, dijatuhi hukuman penjara 16 tahun, di Mahkamah Tinggi pada 21 Oktober.
Ibu Trevor, Chloe Gan Ci Xuan, 23 tahun, pula dijatuhi hukuman penjara 15 tahun dan tiga bulan.
Pihak pendakwaan sebelum ini memohon hukuman sekurang-kurangnya 15 hingga 16 tahun penjara bagi Neo, dan sekurang-kurangnya 14 hingga 15 tahun penjara bagi Gan.
Pasangan suami isteri itu masing-masing mengaku bersalah pada 12 Oktober atas tiga tuduhan berkaitan penderaan Trevor.
Gan berdepan tuduhan menyebabkan kematian Trevor, manakala Neo berdepan tuduhan membiarkan kematian tersebut berlaku.
Neo dan Gan masing-masing turut berdepan satu tuduhan menganiaya Trevor dan satu tuduhan saling membiarkan penganiayaan dilakukan ke atas bayi berkenaan.
Neo juga berdepan tuduhan tambahan bagi penderaan domestik kerana mencederakan Gan berulang kali.
Trevor meninggal dunia selepas Gan menekap muka, memukul dan menelungkupkan bayi tersebut bagi menghentikan tangisannya pada 1 September 2024.
Neo, yang berada di dalam bilik ketika itu sedang bermain permainan di telefon bimbitnya dan tidak menghalang tindakan isterinya.
Ketika menjatuhkan hukuman ke atas pasangan tersebut, Hakim Hoo Sheau Peng, berkata:
“Meskipun faktor usia muda dan kurang berpengalaman mereka (dipertimbangkan), kededua tertuduh harus bertanggungjawab sepenuhnya atas perbuatan kejam mereka.”
Hakim menyangkal hujah pihak pembelaan bahawa pasangan muda itu tertekan dengan tugas menjaga bayi berkenaan, dengan menyatakan bahawa Gan dan Neo mendapat sokongan baik daripada ahli keluarga serta turut mempunyai pengasuh.
“Malah, dalam satu perbualan melalui mesej pada 18 Januari 2024, pasangan itu – terutama Neo – mengambil ringan penderaan fizikal terhadap Trevor dan potensi kesan buruk ke atasnya. Mereka tetap meneruskan penderaan tersebut selepas itu,” jelas Hakim Hoo.
Hakim berkenaan menambah, meskipun Gan yang melakukan tindakan yang akhirnya membawa kepada kematian Trevor, Neo yang lebih dewasa dalam perkahwinan berkenaan sedar akan risiko besar yang dihadapi bayi itu.
“Sikap Neo yang amat mementingkan diri menyebabkan dia langsung tidak mahu menyusahkan diri menjaga Trevor.
“Pada malam kejadian, dia terus bermain permainan di telefon bimbitnya dan langsung tidak menghulurkan bantuan kepada Gan,” kata Hakim Hoo.
“Dia bukan sahaja gagal campur tangan sedangkan mempunyai setiap peluang untuk berbuat demikian, malah turut menggalak (tindakan) Gan dengan berkata ‘tunggu bayi itu buat bising dahulu, baru cuba lagi’. Tingkah lakunya patut dikeji.”
Pada 21 Oktober, Gan sempat berbual seketika dengan peguamnya, Encik Josephus Tan, namun tidak bercakap mahupun memandang ke arah Neo.
Gan dan Neo menganiaya Trevor dengan menggoncang badannya dan menekup mulut serta hidungnya bagi menghentikan tangisannya.
Gan juga memukul bayi berkenaan berulang kali hingga menyebabkan Trevor lebam di badannya.
Neo pula menampar Trevor, mencungkil mulut bayi itu dengan jarinya serta memukulnya.
Dia juga berulang kali mencubit jari-jemari Trevor semata-mata untuk melihat reaksi bayi berkenaan, dan menganggapnya sesuatu yang melucukan.
Pasangan itu saling bertukar mesej mengenai penderaan tersebut, malah membuat jenaka tentang bagaimana perbuatan menggoncang itu boleh menyebabkan kerosakan otak.
Trevor disahkan meninggal dunia di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK (KKH) pada kira-kira 12.20 tengah malam pada 2 September.
Pasangan suami isteri itu ditangkap selepas kakitangan hospital membuat laporan polis.
Hasil bedah siasat tidak dapat menentukan punca sebenar kematian bayi berkenaan.