Topik diikuti
Pergi ke BHkuDera pekerja wanita: Bekas peguam dijel 4 minggu, denda $1,500
Dera pekerja wanita: Bekas peguam dijel 4 minggu, denda $1,500
PEGUAM Samuel Seow Theng Beng yang digugurkan daripada bar guaman kerana mendera tiga pekerja wanita, termasuk seorang peguam wanita yang merupakan anak saudaranya, secara fizikal dan lisan dihukum penjara empat minggu dan didenda $1,500 semalam.
Pada Julai 2020, Seow mengaku bersalah atas tuduhan menyerang peguam yang juga anak saudaranya, Cik Brenda Kong Shin Ying, yang ketika itu berusia 26 tahun.
Satu lagi tuduhan adalah menggunakan kekerasan jenayah ke atas eksekutif artis dan acara, Cik Rachel Kang Pei Shan, ketika itu berusia 21 tahun.
Satu tuduhan gangguan melibatkan Cik Kang dan tuduhan kedua menggunakan kekerasan jenayah ke atas wanita ketiga, Cik Serene Tan Tzuu Yen, dipertimbang semasa menjatuhkan hukuman.
Seow, 49, digugurkan daripada bar pada 18 Mei 2022.
Dalam tulisan penghakiman mengenai pemecatannya pada Mei, Mahkamah Tiga Hakim berkata pembatalan itu adalah wajar kerana kelakuannya menunjukkan kecacatan watak menyebabkan dia tidak layak menjadi peguam.
Mahkamah juga berkata tingkah laku Seow mengerikan dan kekurangan kawalan dirinya menghalang keupayaan untuk melaksanakan tugasnya dengan profesional.
Seow pernah mengaku di hadapan Tribunal Tatatertib pada 2019 kepada lapan insiden salah laku profesional yang melibatkan tiga pekerja wanita di pejabatnya di South Bridge Road antara 16 Mac 2018, dan 17 April 2018.
Lima daripada tuduhan berkaitan kemarahan yang keterlaluan dan kelakuan kasar terhadap Cik Kang antara 16 Mac dengan 3 April 2018.
Insiden itu melibatkan Seow melempar fail, kotak, stapler logam dan dompet ke Cik Kang, kemudian menjerit dan mengancam untuk membunuh Cik Kang dengan pisau.
Tiga lagi tuduhan berkaitan tindakan keganasan pada 17 April 2018, adalah terhadap Cik Kang, Cik Kong dan Cik Tan, seorang setiausaha dan eksekutif pemindah hak.
Pada masa kesalahan, Seow mengendalikan beberapa syarikat, termasuk Samuel Seow Law Corporation dan agensi bakat Beam Artistes, di mana Cik Kang bekerja ketika itu.
Dalam prosiding terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya (DPP), Encik Kumaresan Gohulabalan berkata: "Tertuduh kecewa dengan Rachel kerana dia tidak menyiapkan kerja dan meninggalkan pejabat tanpa menyelesaikan tugasnya dengan betul. Dalam kemarahan, tertuduh dengan tegas mencucuk dahi Rachel sebanyak dua kali dengan jari telunjuk kanan."
Cik Kang membuat laporan polis pada 12 Mei 2018.
Tertuduh kemudian juga telah menyerang anak saudaranya, Cik Kong, yang gagal menjawab soalannya.
Bagi kesalahan mendera, Seow boleh dipenjara sehingga dua tahun dan didenda sehingga $5,000. Oleh kerana menggunakan kekerasan jenayah, dia boleh dipenjara sehingga tiga bulan dan didenda sehingga $1,500.