Pada umumnya, kanak-kanak yang baru berusia tujuh tahun meniti hari dengan penuh keriangan dan gelak tawa tanpa memikirkan beban kehidupan.
Namun, bagi Muhammad Nawfal Muttaqin Muhammad Nasri, takdir telah mengujinya dengan dugaan berat yang tidak mampu digambarkan dengan kata-kata, menjadikan kehidupannya jauh berbeza daripada rakan sebaya.
Pada November 2022, ketika dikejarkan ke Jabatan Kemalangan dan Kecemasan (A&E) di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK (KKH), Nawfal disahkan menghidap barah otak setelah doktor menemui tumor berukuran 10 sentimeter di otaknya.
Diagnosis ini bukan sahaja mengejutkan, bahkan membawa perubahan besar dalam kehidupan keluarga Nawfal terutama ibunya, Cik Dayangku Nurafiqahwinaini, 31 tahun, dan ayahnya, Encik Muhammad Nasri, 36 tahun, yang selama ini hanya menganggap ia penyakit ringan seperti flu perut.
Ketika ditemui Berita Minggu (BM) di Pusat Jagaan Barah Wira Muda (YHCC), kendalian Persatuan Ain di Eunos Crescent, Cik Dayangku Nurafiqahwinaini, ibu tiga anak, berkata:
“Saya ingatkan ia perkara biasa yang berlaku pada kanak-kanak yang sedang membesar apabila terkena jangkitan flu perut.
“Setelah adik-beradiknya yang lain kembali pulih, keadaan Nawfal masih sama.
“Apa yang lebih membimbangkan ialah Nawfal sering merungut sakit kepala.
“Setelah mendapat tahu mengenai keadaan sebenarnya, kami rasa terkejut sehingga tidak tahu bagaimana hendak mengendalikan perasaan kami.
“Dalam jangka masa kurang dua tahun, Nawfal menjalani tiga pembedahan untuk membuang tumor di bahagian otak sepenuhnya.”
Sementara itu, Encik Nasri, yang bekerja sebagai pekerja stor, turut menambah: “Ia berlaku secara tiba-tiba dan sudah ibarat perkara hidup dan mati.
“Apabila kami mendapat tahu diagnosisnya, ketumbuhan atau tumor di bahagian otaknya sudah sebesar 10 sentimeter.
“Kami terpaksa meneruskan pembedahan pada 30 November 2022, sebaik pemeriksaan pertama, sebab sudah tiada pilihan lain.
“Mereka tidak keluarkan tumor itu sepenuhnya pada pembedahan yang pertama disebabkan risiko yang amat tinggi.”
Menyusuli diagnosisnya, Nawfal telah menjalani tiga pembedahan besar pada 2022, 2023 dan 2024 untuk membuang ketumbuhan pada otaknya.
Namun, perjalanan rawatan ini sepanjang kurang dua tahun itu bukanlah mudah.
Selepas pembedahan kedua pada Julai 2023, Nawfal mengalami kesukaran bernafas dan menelan makanan sehingga membuatnya perlu bergantung kepada alat pernafasan.
Komplikasi lain seperti palsi Bell (kondisi kelumpuhan otot muka) dan ambliopia (penglihatan kian pudar pada satu mata) atau ‘lazy eye’ turut menyusul.
Pada Jun 2024, ujian berat kembali menimpa apabila tumor baru dikesan di bahagian kiri otaknya, memaksa dirinya menjalani pembedahan ketiga serta rawatan intensif termasuk radioterapi.
Cik Dayangku, yang awalnya bertugas sebagai guru pusat penjagaan kanak-kanak, kemudian memutuskan untuk berhenti kerja bagi menjaga anak-anaknya, termasuk dua anak lelaki lain, Muhammad Naqeeb Mustaqim, enam tahun, dan Muhammad Naqeel Muzakir, lima tahun.
Selain itu, beliau juga memikul tanggungjawab menjaga ibunya yang menghidap penyakit kencing manis dan perlu menjalani rawatan dialisis.
Walau bagaimanapun, di tengah-tengah cabaran ini, Persatuan Ain tampil memberi sokongan dan pertolongan kepada Nawfal sekeluarga.
Antaranya, dia diberi bantuan kewangan, sokongan mobiliti ke hospital dan juga keperluan asas yang dapat meringankan beban harian.
Lebih daripada itu, Nawfal dan keluarganya turut diberi peluang menyertai acara serta program di bawah YHCC, satu inisiatif yang memberi ruang kepada pesakit barah dan penjaga mereka untuk melupakan sejenak beban kehidupan sekali gus meraih peluang membina masyarakat yang saling membantu.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg