Orang ramai yang mempunyai buku teks terpakai boleh mendermakannya di pasar raya besar FairPrice Xtra sepanjang dua minggu mulai hujung minggu ini, sebagai sebahagian daripada daya usaha FairPrice Group (FPG) untuk membantu pelajar kurang bernasib baik.

Dari 14 hingga 28 November, buku teks terpakai yang diluluskan Kementerian Pendidikan (MOE) boleh didermakan di mana-mana lapan cawangan FairPrice Xtra di serata negara, serta di Pusat Belia Humanistik Tzu Chi di Yishun.

Kempen derma buku Share-A-Textbook itu bertujuan untuk menyediakan keperluan pendidikan bagi pelajar kurang bernasib baik menjelang tahun persekolahan baharu, menurut FPG dalam satu kenyataan pada 12 November.

Kempen yang kini memasuki edisi ke-44 bagi 2026 itu, dianjurkan bersama Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC).

Dari 28 November hingga 3 Disember, lebih 1,000 sukarelawan daripada FPG, NTUC, rakan kongsi daripada sekolah dan pertubuhan serta orang ramai akan berkumpul untuk mengasingkan buku teks yang didermakan.

Menurut FPG, sukarelawan tersebut terdiri daripada pelajar, ibu bapa, serta sukarelawan jangka panjang yang telah menyumbang kepada daya usaha berkenaan selama lebih sedekad.

Orang ramai boleh mengambil buku teks terpakai tersebut di Pusat Belia Humanistik Tzu Chi pada 4 dan 5 Disember, dari 9 pagi hingga 7 malam.

Kemasukan terakhir ke pusat berkenaan adalah pada 6 petang.

Daya usaha Share-A-Textbook mula dilancarkan pada 1982 bagi menyokong keperluan pendidikan pelajar dan keluarga yang memerlukan.

Setakat ini, lebih tujuh juta buku teks telah didermakan kepada hampir 300,000 pelajar menerusi kempen berkenaan.

“Sejak dilancarkan, daya usaha ini telah berkembang menjadi kempen derma buku teks terbesar di Singapura, membantu penerima bantuan dalam kalangan pelajar daripada sekolah, pertubuhan masyarakat serta orang awam untuk mendapatkan sumber pendidikan asas,” menurut FPG.

Kempen derma itu merupakan salah satu daya usaha terbaharu FPG dan Yayasan FairPrice yang dilancarkan bagi memastikan barangan keperluan harian kekal mudah diakses bagi semua lapisan masyarakat di Singapura.

Daya usaha lain oleh FPG termasuk potongan harga bagi produk ayam dan telur terpilih dari 1 Oktober hingga 31 Disember, Baucar Pulangan FairPrice, diskaun mingguan bagi pemegang kad Skim Bantuan Kesihatan Masyarakat (CHAS) biru dan jingga, serta pembekuan harga barangan keperluan harian.

Yayasan FairPrice turut menganjurkan daya usaha pendidikan pemakanan untuk warga emas dan kanak-kanak prasekolah, di samping program perkongsian dan pengagihan makanan di kawasan kejiranan.

Ia juga telah menyediakan lebih 12,000 pek sarapan berkhasiat secara percuma kepada pelajar Darjah 6 yang menduduki Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE).

Mereka yang ingin menderma buku teks boleh berbuat demikian di cawangan FairPrice Xtra di AMK Hub, Hougang 1, VivoCity, Taman Perniagaan Changi, NEX, Parkway Parade, JEM dan Jurong Point.