BADAN amal dalam sektor agama, seperti gereja dan kuil, dan dalam bidang pendidikan, seperti universiti, mengalami tahun yang sukar pada tahun 2020 apabila jumlah derma jatuh disebabkan pandemik Covid-19.
Derma kepada kumpulan agama merosot sebanyak 13 peratus daripada $1.34 bilion pada tahun kewangan 2019 kepada $1.17 bilion setahun kemudian, manakala sumbangan kepada badan amal dalam bidang pendidikan menurun sebanyak 13 peratus daripada $483.7 juta pada tahun kewangan 2019 kepada $418.5 juta setahun kemudian.
Terdapat peningkatan derma kepada badan amal dalam sektor lain seperti sosial dan kebajikan, kesihatan dan masyarakat pada tahun kewangan 2020 walaupun terjejas oleh Covid-19.
Namun, badan amal kumpulan agama menerima bahagian terbesar, atau 37 peratus, daripada derma sebanyak $3.12 bilion kepada semua badan amal pada tahun kewangan 2020, menurut laporan tahunan Pesuruhjaya Pertubuhan-Pertubuhan Amal (COC) 2021, yang dikeluarkan pada akhir bulan lalu.
Jurucakap COC menjelaskan bahawa jumlah derma keseluruhan untuk 2020 dikumpul berdasarkan penyerahan tahunan badan amal untuk tahun kewangan masing-masing, dan ini berbeza mengikut badan amal.
Sebagai contoh, tahun kewangan 2020 bagi beberapa badan amal berakhir pada Mac 2020, manakala yang lain berakhir pada Disember 2020.
Akhbar The Straits Times menyemak laporan tahunan lebih 10 kumpulan agama dengan sumbangan yang besar dan mendapati kebanyakan mereka mengalami penurunan dalam jumlah derma pada 2020.
Misalnya, Gereja City Harvest mengumpul kira-kira $30 juta dalam jumlah derma pada 2019, dan ini turun kepada kira-kira $26 juta pada 2020.
Gereja Faith Community Baptist mengumpul kira-kira $26 juta dalam derma pada 2019, tetapi kira-kira $24 juta setahun kemudian.
Kutipan bagi Kuil Loyang Tua Pek Kong pada 2019 ialah $7.6 juta, tetapi turun kepada $5.4 juta pada 2020.
Sementara itu, Kuil Sri Sivan, sebuah kuil Hindu, mengumpul kira-kira $510,000 dalam bentuk derma pada 2019, dan ini jatuh kepada kira-kira $340,000 pada 2020.
Ketua Makmal Sosial Institut Kajian Dasar, Dr Mathew Mathews berkata memandangkan terdapat sekatan pandemik seperti had saiz jemaah pada tahun 2020, tempat ibadah mengurangkan perkhidmatan dan perayaan keagamaan, apabila penganut sering membuat sumbangan.
Dan semasa pemutus litar dari 7 April hingga 1 Jun 2020, semua tempat ibadah ditutup.
Dr Mathews berkata: "Kutipan akan merosot kerana jumlah orang yang pergi ke tempat ibadah berkurang. Namun, ia jelas bahawa orang ramai terus memberi dengan murah hati ketika menyaksikan perkhidmatan keagamaan dalam talian atau mengambil bahagian dalam ritual dalam saiz yang diperkecilkan."


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg