Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Dewan muzik Live Nation bakal dibuka di Orchard Rd pada 2026 

Dec 13, 2024 | 7:52 PM
Dewan muzik dengan kapasiti 3,000 penonton di simpang Grange Road dan Somerset Road akan menjadi tempat pertama yang dibina Live Nation di Asia.
Dewan muzik dengan kapasiti 3,000 penonton di simpang Grange Road dan Somerset Road akan menjadi tempat pertama yang dibina Live Nation di Asia. - Foto LIVE NATION

Dewan muzik berkapasiti 3,000 penonton yang dibina promoter konsert Live Nation di Orchard Road akan siap menjelang 2026, selepas penangguhan beberapa tahun.

Dewan ini, yang terletak di bekas tempat letak kereta terbuka di persimpangan Grange Road dan Somerset Road, akan menjadi tempat pertama yang dibina khusus oleh Live Nation di Asia.

Ia merupakan projek bersama antara Live Nation, salah satu syarikat hiburan terbesar di dunia, dan Lendlease Global Commercial Reit (LReit) yang disenaraikan di papan utama. Ia juga mendapat sokongan Lembaga Pelancongan Singapura (STB).

LReit memenangi tender untuk bangunkan semula tempat letak kereta Grange Road seluas 48,200 kaki persegi pada 2020.

Projek ini pada asalnya dijangka mula beroperasi pada suku kedua 2022, dan akan tempatkan pawagam bebas, gerai makanan, dan pelbagai ruang acara. Namun, pada 2023, diumumkan bahawa tempat tersebut hanya akan siap pada suku keempat 2024.

Menurut The Straits Times, tempat tersebut kini dijangka dibuka pada 2026. Penangguhan itu disebabkan Covid-19, kekurangan tenaga kerja, kenaikan kos pembinaan, dan perubahan dalam pembinaan tempat berhampiran stesen MRT Somerset.

Live Nation tidak mendedahkan kos pembangunan tersebut, tetapi pada 2020, projek pembangunannya dianggarkan sekitar $10 juta.

Di Asia, Live Nation lebih dikenali sebagai promoter konsert yang membawa artis terkenal seperti Coldplay, Bruno Mars dan Blackpink ke Singapura.

Ia kini menguruskan Spark Arena dengan kapasiti 12,000 penonton di Auckland, New Zealand dan beberapa dewan muzik di Australia.

The Fillmore, yang dahulunya sebuah kilang besi, telah diubah menjadi tempat konsert yang menganjurkan persembahan sejak 2015.

Live Nation berkata lokasi baru di Singapura akan menjadi lebih daripada sekadar ruang konsert.

Ia juga akan menganjurkan acara masyarakat dan Mice (mesyuarat, insentif, konvensyen dan pameran) sepanjang tahun.

Dewan muzik juga akan mempunyai ruang lebih kecil dengan kapasiti 350 orang untuk acara artis tempatan serta kafe.

Pembangunan itu juga akan mempunyai lorong artis yang berfungsi sebagai inkubator untuk seni tempatan, ruang makanan dan minuman dan kios yang disambungkan ke Somerset Discovery Walk.

Singapura dipilih sebagai tempat pertama Live Nation di Asia kerana reputasinya yang kukuh sebagai hab hiburan langsung global.

Ia akan menambah lagi pilihan tempat bagi acara muzik di Singapura, termasuk Stadium Negara di Hab Sukan Singapura yang boleh memuatkan 55,000 orang, Stadium Tertutup Singapura dengan kapasiti 12,000 orang, Star Theatre di The Star Vista dengan 5,000 tempat duduk dan Dewan Konsert di Esplanade yang boleh menampung 1,600 orang.

Projek itu sebahagian usaha STB untuk memodenkan Orchard Road dan menjadikannya destinasi gaya hidup yang lebih menarik.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg