Dewan Parlimen berpandangan bahawa ketua Parti Pekerja, Encik Pritam Singh, tidak lagi sesuai untuk terus memegang jawatan Ketua Pembangkang, susulan sabitannya kerana memberi keterangan palsu kepada sebuah jawatankuasa Parlimen.
Selepas perbahasan selama tiga jam pada 14 Januari, Dewan meluluskan satu usul yang menyatakan bahawa kelakuan serta sabitan kesalahan Encik Pritam berkaitan pembohongan bekas Anggota Parlimen Parti Pekerja (WP), Cik Raeesah Khan, di Parlimen pada 2021 menunjukkan beliau gagal memenuhi tahap keperluan dan piawaian yang diharapkan daripada seorang Ketua Pembangkang.
Usul tersebut turut menegaskan bahawa penerusan peranan Encik Pritam sebagai Ketua Pembangkang akan menjejaskan kewibawaan Parlimen serta keyakinan orang ramai terhadap integriti sistem politik Singapura.
Usul ini dibentangkan oleh Ketua Dewan, Cik Indranee Rajah.
Kesemua 11 Anggota Parlimen Parti Pekerja (WP) yang hadir di Dewan bangun berdiri bagi merekodkan bantahan mereka, manakala Anggota Parlimen Bukan Kawasan Undi, Cik Eileen Chong, tidak hadir.
Sembilan Anggota Parlimen Dilantik (NMP) serta Anggota Parlimen Parti Tindakan Rakyat (PAP) menyokong usul tersebut.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg