Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Di barisan depan dari Sars ke Covid-19

Apr 6, 2020 | 5:30 AM
TERUS TABUR BAKTI: Cik Noor Melati yang merupakan antara pesakit Sars pada 2003, bangkit lebih kuat selepas episod itu dan kini menggesa orang ramai supaya memainkan peranan masing-masing demi membendung penularan Covid-19. - Foto NATIONAL UNIVERSITY HEALTH SYSTEM
TERUS TABUR BAKTI: Cik Noor Melati yang merupakan antara pesakit Sars pada 2003, bangkit lebih kuat selepas episod itu dan kini menggesa orang ramai supaya memainkan peranan masing-masing demi membendung penularan Covid-19. - Foto NATIONAL UNIVERSITY HEALTH SYSTEM -

SEKITAR 17 tahun lalu, beliau berjuang memerangi wabak Sindrom Sesak Nafas Mendadak (Sars).

Cik Noor Melati Ahmad, 37 tahun, bukan sahaja berkhidmat di barisan hadapan sebagai jururawat ketika itu, malah turut bertarung nyawa selepas dijangkiti penyakit tersebut.

Meskipun menyifatkannya sebagai antara pengalaman paling sukar dalam hidupnya, jururawat klinisian di Hospital Universiti Nasional (NUH) itu berkata ia menguatkan lagi semangat beliau untuk terus menyumbang bakti sebagai jururawat.

"Selepas Sars, nenek saya yang sangat sayangi saya menyarankan agar saya berhenti bekerja sebagai jururawat.

"Tetapi ibu saya percaya kalau saya dapat atasi Sars, saya boleh atasi cabaran lain. Ibu mahu saya terus berbakti kepada mereka yang memerlukan khidmat saya dan saya akan ingat kata-katanya buat selamanya," ujar Cik Noor Melati yang ibunya meninggal dunia baru-baru ini.

Kata-kata itu juga yang terus membakar semangatnya sedang beliau berjuang di barisan hadapan sekali lagi, menghadapi pandemik koronavirus (Covid-19) kali ini sedang jumlah kesnya terus meningkat di Singapura dan seluruh dunia.

Menurut Cik Noor Melati yang baru kembali bekerja awal Februari lalu selepas cuti bersalin, beliau rasa agak bimbang pada mulanya selepas mendengar berita tentang kes Covid-19 pertama yang dilaporkan di Singapura pada 23 Januari lalu.

Pengalamannya sebagai pesakit Sars kembali segar dalam ingatan apabila beliau mengenangkan saat beliau menghabiskan masa sendirian selama beberapa minggu di Hospital Tan Tock Seng (TTSH).

Dalam keadaan beliau demam panas, menggigil dan sukar bernafas sehingga kadangkala terlalu lemah untuk bangun dan mengangkat telefon, sokongan rakan sekerja, keluarga dan teman lelakinya (kini suaminya) ketika itu yang terus mendorong Cik Noor Melati melawan penyakit tersebut.

Sebagai ibu empat anak kini dan berkhidmat di barisan hadapan menghadapi Covid-19, beliau juga risau dijangkiti koronavirus itu dan membahayakan keluarganya.

Namun, beliau yakin kerana terdapat pelbagai langkah ketat yang diambil untuk mengawal jangkitan tersebut di dalam dan luar hospital.

Suaminya, Encik Mohamad Nizam Mohamad Jan, yang berada di sisinya sejak episod Sars dahulu turut memahami dan tidak putus-putus memberinya sokongan serta menjemputnya pulang selepas kerja setiap hari.

Sebagai jururawat klinisian, Cik Noor Melati antara lain bertanggungjawab bagi 60 jururawat di jabatan onkologi dan merawat pesakit yang sedang menjalani pemindahan sumsum tulang.

Beliau juga merawat pesakit yang disyaki dijangkiti Covid-19 namun kesemuanya diuji negatif sejauh ini.

Dengan rakan kerjanya dari Filipina, Malaysia, India dan China yang tidak dapat pulang ke negara masing-masing buat masa ini, Cik Noor Melati berkata mereka tentunya sedih.

Oleh itu, beliau cuba memberi mereka kata-kata semangat menerusi media sosial dan meminta mereka agar banyak berehat.

Sebagai karyawan penjagaan kesihatan, beliau juga sedih setiap kali mendengar berita kematian akibat Covid-19.

Namun, beliau terdorong untuk terus berjuang bersama warga Singapura lain bagi membendung penularan koronavirus itu di sini.

"Kita semua harus memainkan peranan mengamalkan sikap bertanggungjawab dari segi sosial dan kita boleh menghentikan penularan ini bersama.

"Kita pernah mengatasi Sars sebelum ini dan saya yakin kita juga dapat bangkit lebih kuat selepas mengatasi Covid-19," ujar Cik Noor Melati.

"Selepas Sars, nenek saya yang sangat sayangi saya menyarankan agar saya berhenti bekerja sebagai jururawat. Tetapi ibu saya percaya kalau saya dapat atasi Sars, saya boleh atasi cabaran lain. Ibu mahu saya terus berbakti kepada mereka yang memerlukan khidmat saya dan saya akan ingat kata-katanya buat selamanya." - Jururawat klinisian di Hospital Universiti Nasional (NUH), Cik Noor Melati Ahmad.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg